Kes denggi di Perak catat penurunan

in Uncategorized by


MANJOI  – Perak merekodkan penurunan kes denggi paling ketara bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini apabila hanya mencatatkan 1,739 kes berbanding 4,318 bagi tempoh sama, tahun lalu.


Exco Kerajaan Negeri Perak, Yong Choo Kiong berkata, trend penurunan itu secara tidak langsung turut memberi kesan kepada angka kematian disebabkan denggi iaitu, empat kes berbanding lapan yang dilaporkan pada 2016.


Menurutnya, satu daripada faktor yang membantu adalah sikap peka masyarakat tentang bahaya wabak denggi hinggakan kebanyakan kawasan yang mencatatkan kes tinggi, dijaga dengan baik.


“Kesedaran masyarakat semakin baik, banyak kawasan yang sebelum ini berlaku kes denggi telah dibersihkan dan dijaga dengan baik.


“Kita juga perlu beri penghargaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain yang secara bersepadu melakukan aktiviti pencegahan antaranya gotong-royong bagi menangani wabak ini terus menular,” katanya ketika ditemui pada program Gotong Royong Mega peringkat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Taman Meru 1B, semalam.


Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Manjoi, Asmuni Awi.


Choo Kiong berkata, bagi memastikan penurunan kes denggi berlaku secara berterusan, pihaknya akan menggesa agar setiap PBT dalam negeri ini menjalankan aktiviti gotong-royong dua kali setiap bulan.


“Ini usaha kita untuk memastikan Perak benar-benar bebas daripada wabak berkenaan,” katanya.


Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, sebanyak 18 notis telah dihantar kepada pemilik lot kosong di sekitar Meru awal bulan ini selepas didapati tidak menjaga kebersihan kawasan persekitaran.


Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya pemilik lot terbabit ingkar dan tidak memandang serius teguran dibuat.


“Hanya kesedaran dan kepekaan masyarakat sahaja boleh membasmi wabak ini daripada terus menular,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]