Kes denggi tertinggi di Besut

in Edisi Terengganu by


KUALA BESUT – Kes denggi di dua kampung di Kuala Besut mencatat rekod  kes tertinggi dalam sejarah daerah Besut dengan 43 pesakit direkodkan masih dirawat di Hospital Besut sehingga semalam.


Kesemua pesakit itu membabitkan penduduk  dari kawasan wabak iaitu  Kampung Tok Saboh (Lay Out Tok Saboh) dan Kampung Alor Teratai  yang terletak  berdekatan antara satu sama lain.


Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohamad Jusoh berkata, jumlah pesakit termasuk dua kes kematian masing-masing dari Kampung Lay Out Tok Saboh dan Alor Teratai adalah kes  denggi paling serius direkodkan  di daerah ini setakat semalam.


Menurutnya, sebelum ini kes kawasan wabak pernah direkodkan tertinggi di Besut  di Kampung Tanjung Alir dekat Alor Keladi, Hulu Besut yang hanya membabitkan seramai 13 pesakit pada tahun 2015.


“Kebiasaannya hanya sekitar lima atau enam orang pesakit  sahaja disahkan positif demam denggi dalam satu-satu kawasan wabak sebelum ini,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran gotong-royong mega peringkat negeri Terengganu di Kampung Tok Saboh, di sini, yang dirasmikan  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.


Hadir sama Pegawai Daerah Besut, Shahidan Embok, Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Ab Rashid Jusoh dan Pegawai Kesihatan Daerah Besut, Dr Razan Ab Samat.


Program anjuran Jabatan Kesihatan Terengganu bersama Pejabat Daerah Besut, Majlis Daerah Besut (MDB) dan Pejabat Pendidikan Daerah itu disertai lebih 500 peserta yang menyertai gotong- royong membersih kampung.

Alias dan Mohamad membuang sampah ke dalam lubang sebelum menimbusnya dalam gotong-royong di Kampung Layout Tok Saboh.


Boleh diisytihar kawasan wabak tidak terkawal jika ada pertambahan pesakit baharu


Mohamad berkata, bagaimanapun tidak ada peningkatkan kes baharu dicatatkan di kawasan wabak terbabit  dalam tempoh beberapa hari sehingga semalam.


Menurutnya, jika ada sekurang-kurangnya seorang lagi pesakit baharu direkodkan semalam iaitu mencapai 14 hari selepas diisytiharkan sebagai kawasan  wabak , ia akan menyebabkan kawasan tersebut boleh diisytiharkan sebagai kawasan wabak tidak terkawal.


“Pihaknya memberi perhatian penuh kepada kawasan terbabit manakala kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran seperti PKD Setiu diarahkan membantu PKD Besut memantau beberapa kampung lain yang terdapat kes denggi (bukan wabak) di daerah ini,” katanya.


Sementara itu menurut Dr Alias, kerajaan negeri melahirkan kebimbangan dengan jumlah pesakit berkenaan khususnya di daerah Besut dan tindakan segera perlu diambil bagi mengekang penularannya.


Menurutnya, lebih membimbangkan daripada 43 kes denggi dari kawasan wabak itu seramai 15 membabitkan  pelajar iaitu 11 murid sekolah rendah dan bakinya empat orang sekolah menengah.


“Penduduk perlu diberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelak pembiakan nyamuk Aedes di halaman rumah masing-masing,” katanya.


Alias berkata,  keberkesanan gotong-royong yang dijalankan kelmarin ini akan dapat dilihat dalam tempoh seminggu dan jika masih ada kes ia memerlukan tindakan lebih agresif semua pihak supaya kawalan dapat dilakukan bagi mengelak wabak berkenaan meningkat.


Kes meningkat selepas perayaan


Menurutnya, bagi enam bulan pertama 2018, bilangan kes denggi di Terengganu telah menunjukkan penurunan iaitu hanya 102 kes berbanding 164 kes tahun lepas iaitu penurunan 32.8 peratus tetapi bilangan kes didapati meningkat selepas musim perayaan lepas.


“Sehingga 26 Julai lepas keseluruhan kes denggi telah meningkat menjadi sebanyak 172 kes di negeri ini dan sehubungan itu kita tidak boleh berdiam diri dan tidak cakna terhadap bahaya serangan demam denggi,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Razan ketika diminta mengulas mengenai kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) yang direkodkan di Besut sehingga semalam adalah sebanyak 53 kes dengan satu kawasan wabak sahaja.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]