Masalah disiplin pelajar masih terkawal

in Edisi by


BACHOK – Masalah disiplin pelajar di Kelantan masih terkawal dan hanya terdapat beberapa kes terpencil berlaku setiap tahun.


Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Muhammad Zahari Othman berkata, ia tidak begitu ketara, namun terdapat kes terpencil berlaku yang dikategorikan kerana kenakalan remaja sedang meningkat usia.


Menurutnya, perkara itu berlaku akibat pengaruh luar yang membuatkan mereka ingin mencuba sesuatu termasuk kes gurauan mengikat rakan di pokok baru-baru ini.


“Pihak kami sentiasa mengambil tindakan untuk mengekang perkara ini termasuk aktifkan lagi program sukan, kokurikulum supaya pelajar sentiasa ada aktiviti selain pemantauan melalui kaunselor untuk memberi panduan dan nasihat kepada pelajar berisiko tinggi terlibat.


“Masalah disiplin pelajar di sekolah boleh dianggarkan sekitar 0.7 peratus sahaja iaitu melibatkan gejala merokok, ponteng kelas dan sebagainya di peringkat sekolah menengah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Perkhemahan Kokurikulum Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Tunas KRS peringkat kebangsaan di Pusat Kokurikulum, Tangok, dekat sini.


Muhammad Zahari berkata, perkhemahan perdana itu bertujuan membentuk generasi yang cintakan negara, memupuk perpaduan antara kaum, berdikari dan berdisiplin dalam mengharungi kehidupan masa depan penuh cabaran melalui pelbagai aktiviti integrasi yang disediakan.


Katanya, perkhemahan itu selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu pelajar diberikan ruang untuk mengembangkan potensi secara menyeluruh dan bersepadu agar mereka menjadi insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.


Seramai 674 ahli dari 17 kontinjen termasuk satu dari sebuah sekolah swasta campuran tiga negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang menyertai perkhemahan kali ini yang menyaksikan kontinjen KRS dan TKRS Kelantan muncul juara keseluruhan.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]