Masih cemerlang tanpa gaji tujuh bulan

in Sukan by


GEORGETOWN – Pulau Pinang berpeluang merebut slot Suku Akhir Piala Presiden 2018 apabila menerima kunjungan UiTM FC di Padang Universiti Sains Malaysia (USM) petang esok.


Biarpun tidak menerima gaji hampir tujuh bulan lalu, pelapis Harimau Kumbang tetap mempamerkan prestasi menyakinkan malah berjaya mencatatkan 9 menang, 6 seri dan 4 kalah selepas 19 perlawanan.


Ketua Jurulatihnya, S Vello berkata, pasukannya kiniĀ  berada di tangga kelima Kumpulan B mengumpul 33 mata iaitu beza satu mata dengan PKNP FC di tangga keempat dan UiTM FC di tangga ketiga.


Menurutnya, beliau yakin pelapis Harimau Kumbang ini mampu melakarkan kejutan ke atas kelab IPT tersebut untuk muncul lapan kelompok terbaik pasukan 21 tahun ke bawah pada musim ini.


“Walaupun terganggu dengan masalah gaji yang tidak dibayar sejak beberapa bulan lalu namun saya sentiasa menasihati semua pemain ini bahawa kita telah pilih jalan ini dan perlu menamatkannya sebaik mungkin.


“Saya sentiasa ingatkan mereka perlu pandang jauh demi karier dan masa depan kerana rata-rata pemain di dalam skuad ini mempunyai kualiti dan boleh pergi jauh. Gunakan platform ini untuk buktikan kemampuan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.


Veloo pernah membimbing skuad yang sama pada 2015 berjaya mara ke perlawanan akhir piala presiden sebelum tumpas 1-2 kepada Kelantan di Stadium Bandaraya.


Jelasnya, beliau mempunyai keyakinan yang tinggi dengan semua bakat Pulau Pinang yang dibimbing beliau pada musim ini dan berharap akan sekali lagi berusaha untuk melakukan kejutan.


“Saya percaya ada pihak yang akan membuka mata melihat prestasi anak-anak muda Pulau Pinang yang memberikan segala-galanya demi logo negeri di dada mereka,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]