MTNI kekurangan dana RM200,000

in Edisi by


LABIS – Rayuan pengerusi Madrasah Tahfiz Nurul Iman (MTNI) di Kampung Juaseh, di sini, yang mengharapkan sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembinaan sebuah bangunan asrama bagi kemudahan pelajarnya mula mendapat perhatian.


Pengerusi MTNI, Mohd Khair Mean berkata, beliau terharu apabila terdapat pihak yang prihatin terhadap kebajikan 21 pelajar yang sedang menuntut di pusat tahfiz yang telah wujud sejak tiga tahun lalu.


“Sekarang kami memerlukan dana sebanyak RM200,000 termasuk sebanyak RM170,000 akan digunakan untuk bangunan sementara manakala selebihnya untuk kemudahan prasarana lain.


“Setakat ini kami mempunyai bangunan sendiri yang dijadikan kelas dan pejabat sementara, manakala untuk asrama pelajar pula kami terpaksa menyewa rumah yang terletak kira-kira 400 meter dari bangunan kelas,” katanya pada Program Sentuhan Kasih Nurul Iman di Madrasah Tahfiz Nurul Iman di Kampung Juaseh, di sini.


Dalam program itu, seramai 30 Sukarelawan Melayu Labis dengan kerjasama dua syarikat korporat di Labis milik anak tempatan iaitu Serai Mas Sdn Bhd dan Syarikat Elektrik Awan Biru Sdn Bhd tampil membantu dalam Program Sentuhan Kasih Nurul Iman.


Mohd Khair berkata, dia juga bercadang untuk membina asrama tersebut di atas tanah miliknya yang berkeluasan kira-kira 1.2 hektar selain memudahkan pemantauan dilakukan dan demi keselamatan pelajar.


“Setakat ini, kami berjaya mengumpul kira-kira RM15,000 yang disumbangkan oleh orang ramai sejak hampir lima bulan lalu dan merayu sumbangan orang ramai supaya hasrat murni ini dapat dilaksanakan,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Sukarelawan Melayu Labis, Zul Edman Wagiman berkata, program ini juga bertujuan menguar-uarkan kewujudan MTNI di Parlimen Labis selain mengajak masyarakat untuk menginfakkan harta mereka untuk saham akhirat.


“Kami juga mahu melatih sukarelawan kami yang terdiri dari anak muda untuk mencintai kerja-kerja amal walaupun baru empat tahun ditubuhkan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]