Nasib 'curi-curi' tinggal di Malaysia tanpa dokumen

in Edisi Selangor KL by


SUBANG JAYA – Selepas berjaya ‘mencuri-curi’ tinggal di Malaysia sejak 13 tahun lalu, akhirnya bapa kepada empat orang anak ini ditahan pihak berkuasa.


Dalam Ops Mega 3.0 di Taman Subang Mas, di sini, tengah malam tadi, Jabatan Imigresen Malaysia bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggempur rumah kedai yang menjadi kediaman pendatang asing tanpa izin (Pati).


Antara yang ditahan dalam operasi kira-kira jam 12 tengah malam itu, adalah sepasang suami isteri.


“Maaf pak, saya kosong (tiada dokumen), saya tiada wang mahu buat dokumen,” kata Hassanudin, 47, selepas ditahan di rumahnya yang terletak di tingkat tiga bangunan tersebut.


Dia yang tersentak dengan operasi terbabit kemudian dilihat membawa keluar dari biliknya empat orang anak lelaki berusia tiga bulan hingga enam tahun yang sedang tidur.


Difahamkan, kesemua anaknya itu dilahirkan di rumah selain tidak memiliki sebarang dokumen diri.


Selain itu, tambah lelaki berasal Sulawesi, Indonesia itu, dia mendakwa mula masuk ke negara sejak tahun 2005 dengan menggunakan pasport, bagaimanapun, dia gagal membuktikannya.


Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Aziz Jamman berkata, dalam operasi ini seramai 380 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 157 orang adalah Pati membabitkan pelbagai warga negara seperti Indonesia, Sri Lanka, India dan lain-lain.


Menurutnya, semakan mendapati rata-rata mereka ini tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen.


“Selain itu, imigresen turut merampas pelbagai senjata seperti pedang yang dilihat boleh mengancam keselamatan pegawai penguatkuasa,” katanya kepada pemberita di lokasi.


Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, Ops Mega 3.0 yang bermula 1 Julai lalu hingga kelmarin, sebanyak 1,568 operasi dilaksanakan dengan 17,435 orang diperiksa dan 4,476 Pati ditahan.


“Daripada jumlah itu, seramai 1,255 adalah warga Indonesia, Bangladesh (1,246 orang), Myanmar (455 orang), Filipina (294 orang) dan selebihnya membabitkan negara-negara lain.


“Sepanjang tempoh itu juga, seramai 91 majikan telah ditahan,” katanya.


Tegasnya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan majikan atau warga asing yang tidak mematuhi peraturan negara dan akan mengambil segala langkah bagi menangani isu Pati.

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]