Orang Asli kena bersedia berubah

in Uncategorized by


SUNGAI SIPUT – Masyarakat Orang Asli perlu bersedia untuk menerima sebarang perubahan dalam mengubah taraf hidup masyarakat itu agar selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperkasakan pembangunan di kawasan pedalaman.


Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, hanya melalui pendidikan dan akses kepada maklumat merupakan jalan keluar terbaik bagi sesebuah masyarakat untuk berubah dalam pelbagai perkara.


“Kemiskinan itu tidak diwarisi dan beri peluang kepada anak-anak mereka supaya mereka berdaya maju dan berjaya sekaligus membantu masyarakat serta membangunkan kampung mereka.


“Dalam mengekalkan adat resam kaum, peluang pendidikan tidak harus diketepikan. Mereka harus serius memberi pendidikan untuk anak-anak mereka,” katanya kepada sidang media selepas merasmikan pusat Komuniti Bestari Samsung di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Legap di sini, kelmarin.


Hadir sama, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Perak/Kedah, Hairulnizam Abd Rahman dan Pengarah Perhubungan Korporat Samsung Elektronik Malaysia, Datuk Roh Jae Yeol.


Pusat Komuniti Bestari Samsung merupakan projek usahasama antara Jakoa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) direka khas untuk komuniti masyarakat Orang Asli bagi mewujudkan suasana pembelajaran di luar waktu persekolahan yang menarik.


Peralatan seperti tablet disediakan oleh pihak Samsung dilengkapkan dengan perisian aplikasi pembelajaran yang dicipta oleh UKM.  


Ahmad Faizal berkata, kepesatan kemajuan teknologi maklumat telah menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dan interaktif.


“Gandingan teknologi dan pembelajaran amat penting dalam memastikan generasi muda anak-anak masyarakat Orang Asli mendapat akses kepada pendidikan sekaligus mengurangkan isu keciciran sekolah.


“Pembinaan pusat ini di RPS Legap merupakan satu langkah tepat yang diambil oleh pihak Samsung, Jakoa, UKM dan UTP dalam usaha mengubah dan memupuk teknik pembelajaran yang interaktif untuk masyarakat Orang Asli,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]