Raptai sambutan Hari Pahlawan lancar

in Nasional by


PUTRAJAYA – Raptai penuh Istiadat Perbarisan sempena sambutan Hari Pahlawan 2018 anjuran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjalan lancar di Dataran Pahlawan Negara di sini hari ini, sebelum acara kemuncak pada Selasa depan.


Keseluruhan komposisi perbarisan terdiri daripada 46 pegawai dan  823 anggota lain-lain pangkat(LLP) gabungan daripada ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengambil bahagian dalam raptai pagi ini.


Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dijadualkan menghadiri sambutan Istiadat Perbarisan tersebut, selain Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta kenamaan lain termasuk pengurusan atasan pelbagai jabatan dan kementerian.


Kementerian Pertahanan menerusi kenyataan berkata sambutan Hari Pahlawan adalah antara usaha dan keperihatinan kerajaan menetapkan satu hari yang khas bagi mengenang jasa-jasa perwira tanah air yang terkorban dalam usaha mempertahankan kedaulatan ibu pertiwi.


Ia disambut pada setiap 31 Julai sebagai memperingati perjuangan dan pengorbanan anggota keselamatan negara demi kemakmuran serta kedaulatan negara dan dianjurkan secara secara bergilir antara ATM dan PDRM sejak 1968.


Persembahan pantomim ‘Operasi Iblis 1971’ dan deklamasi sajak ‘Demi Pertiwiku’ adalah antara acara yang dijangka menarik perhatian pengunjung pada sambutan kali ini. – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]