Sokong BN, bukti Pas bimbang pimpinan PH

in Politik by


KUALA LUMPUR – Usaha Pas bagi membantu kemenangan calon BN dalam PRK Sungai Kandis dilihat sebagai bukti solidariti Pas-Umno dalam menyuarakan kebimbangan hak bumiputera, Islam dan kuasa Raja-raja Melayu dari terus diganggu-gugat.


Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pendirian Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan agar PH tewas dalam PRK itu adalah isyarat bahawa rakyat semakin resah dengan apa yang sedang berlaku ketika ini.


Katanya, rakyat pelbagai peringkat khususnya yang beragama Islam semakin bimbang dengan tindak tanduk pihak-pihak tertentu yang semakin hari semakin berani menyerang agama dan umat Islam.


“Pada masa sama, kemenangan calon BN dalam PRK Sungai Kandis penting bukan sahaja untuk penduduk Sungai Kandis tetapi juga rakyat Selangor dalam memastikan kerajaan tidak terlalu berkuasa merangka dasar dan polisi termasuk yang membebankan rakyat,” katanya hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat mahu beri PH menang lagi ke?]


Semalam, Nasrudin ketika berucap di Himpunan Kebangkitan Ummah di padang Kelab Sultan Sulaiman sekali lagi menyatakan pendirian supaya PH tewas dalam PRK Sungai Kandis.


Nasrudin berkata, pengundi di Sungai Kandis cukup cerdik menilai calon mana yang perlu dipilih selepas apa yang dilakukan oleh PH selepas PRU14.


Dalam perkembangan sama, Noraini berkata, Wanita Umno yakin parti itu dan Pas perlu menjadikan perpaduan ummah atau persaudaraan Islam terlebih dahulu sebagai asas kepada perpaduan nasional antara kaum dan etnik di Malaysia.


“Orang Melayu-Islam perlu mengukuhkan perpaduan dan persaudaraan antara mereka, kemudian barulah diperkukuhkan perpaduan kaum, sekali gus bermakna wasatiyyah mengambil kira perpaduan orang Melayu-Islam yang melibatkan adanya tolak ansur dan tasamuh antara dua parti Melayu terbesar ini,” katanya.


Mengulas mengenai calon BN, Noraini berkata, komitmen dan keupayaan tinggi Datuk Lokman Noor Adam sebagai aktivitis masyarakat dan lantang dalam mempersoalkan isu-isu dan janji PH semasa PRU14 lalu.


“Suara wakil rakyat daripada BN boleh menjadi elemen semak dan imbang atau check & balance dalam Dewan Undangan Negeri Selangor,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]