Ambil tindakan pemimpin cetus ketegangan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Pemuda Umno Negeri Sembilan menggesa polis mengambil tindakan terhadap mana-mana pemimpin yang mengeluarkan kenyataan provokasi sentimen perkauman kerana boleh mencetuskan ketegangan kaum.


Ketuanya, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir turut mendesak pemimpin terbabit termasuk  


Naib Pengerusi DAP, M Kula Segaran yang berdepan kontroversi susuluan kontroversi dakwaannya yang menyifatkan orang Melayu sebagai pendatang melepaskan jawatan.


“Bukan saja Kula Segaran, tapi semua pemimpin perlu berhati-hati keluar kenyataan. Kita dapati, setelah PH memerintah, banyak sentimen perkauman dilontarkan dalam media massa.


“Kita dah kecapi kemerdekaan 60 tahun, jangan main isu perkauman.


“Sepatutnya bila dah memerintah tambah baik apa kelemahan dilakukan kerajaan terdahulu dan bukannya memburukkan lagi keadaan,” katanya sebelum membuat laporan polis di sini, hari ini.


Menurutnya, sebagai seorang pemimpin, mereka perlu memastikan kesejahteraan kaum dan keamanan negara terus dipelihara bukannya menghuru-harakan keadaan.


Pada masa sama, beliau juga mendesak Kula Segaran mengambil tindakan saman terhadap media yang didakwa kenyataannya dalam satu majlis di Nilai minggu lalu, diputar belit.


“Jangan nak baling batu sembunyi tangan, jangan pula nak manipulasi fakta sejarah. Kaji dulu sebelum keluar kenyataan.


“Hubungan masyarakat India dan orang Melayu di negara ini sudah baik. Bagi kita, beliau perlu bertanggugjawab apa yang berlaku sekali gus mengelak pergaduhan tercetus antara kedua-dua kaum ini,” katanya.


Sementara itu media melaporkan Kula Segaran menarik balik kenyataan kontroversinya dan memohon maaf selepas mendapat kecaman pelbagai pihak.


Dalam satu kenyataan dikeluarkan Menteri Sumber Manusia itu, beliau menarik balik kenyataan itu kerana enggan kontroversi itu terus menjadi barah.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]