Bukan lari tapi kuatkan parti: Aminuddin

in Politik by


SEREMBAN – [DIKEMASKINI] Timbul pelbagai spekulasi apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun yang merupakan Naib Ketua Cabang PKR Seremban ‘lari’ ke kawasan Tampin dalam pemilihan PKR kali ini.


Keputusan itu agak mengejutkan dan ada beranggapan yang beliau sengaja ‘menjerut leher’ mencuba nasib bertanding jawatan Ketua Cabang di kawasan ‘orang’, lebih-lebih lagi bakal berdepan dengan pencabar Kapten(B) Zulkapli Kassim yang merupakan penyandang bagi jawatan berkenaan.


Menjelaskan mengenai itu Aminuddin berkata, sudah tiba masanya beliau berhijrah dan keluar dari zon selesa dengan matlamat memperkuatkan PKR di kawasan Tampin, selain mahu mendekati masyarakat di sana khususnya di kawasan pendalaman.


Menurutnya, keputusan menawarkan diri bertanding di kawasan Tampin dibuat pada saat akhir tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.


“Saya fikir di Cabang Seremban sudah ramai keahlian dan mereka yang mempunyai potensi. Tapi itu bukan bermaksud di Tampin tiada tokoh, cuma sudah tiba masanya orang PKR keluar dari kepompong keselesaan.


“Untuk kuatkan parti tidak semestinya ‘di rumah’ kita sendiri, tapi perlu pastikan di kawasan lain juga kita beri tumpuan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Surat Lantikan Pegawai Penyelaras Dun di Wisma Negeri di sini, hari ini.


Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan menafikan dakwaan lari dari kawasan Seremban ekoran mempunyai masalah dengan rakan-rakan kepimpinan lama.


Malah kehadirannya mencuba nasib di kawasan Tampin bukannya mahu mencari gaduh, tetapi sekadar mahu membantu menguatkan parti.


“Ada yang cakap kenapa saya mahu ambil risiko sedangkan saya sudah selesa di Seremban dan kenapa tak maklumkan kepada Ketua Cabang Tampin, mungkin dia boleh beri laluan kepada saya.


“Tapi, bukan itu caranya. Saya ke Tampin kerana saya fikir saya nak lebih dekat dengan masyarakat di sana. Kalau saya fikir untuk diri saya, semestinya saya lebih mudah di Seremban.


“Kalah atau menang itu adat dalam pertandingan dan saya bersedia menerima apa saja kemungkinan.


“Bagi saya ini adalah pertandingan persaudaraan dan persahabatan dengan matlamat mahu beri khidmat kepada rakyat,” katanya.


Terdahulu, Sinar Harian online melaporkan Zulkapli Kassim menyambut baik keputusan Aminuddin dan menyifatkan ia sebagai satu penghormatan.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]