FNZ lahirkan usahawan dobi

in Bisnes by


TREND perkhidmatan dobi di Malaysia semakin berkembang dan memberikan banyak pilihan kepada pengguna sama ada menggunakan perkhidmatan berkonsepkan konvensional atau layan diri yang lebih efisien.


Dengan adanya  perkhidmatan dobi, ia membantu pengguna menguruskan kerja rumah dan kewangan dengan lebih baik. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, perkhidmatan dobi layan diri menjadi pilihan utama kerana pelanggan boleh membasuh dan mengeringkan baju dalam tempoh sejam. Malahan, ia membolehkan pengguna berkunjung ke kedai dobi pada bila-bila masa kerana beroperasi selama 24 jam.


Melihat kepada trend dan potensi perniagaan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif FNZ Berkat (M) Sdn Bhd (FNZ), Mohd Fazli Ibrahim menceburi bidang perniagaan tersebut sebagai pembekal mesin dobi layan diri diri sejak empat tahun lalu.


“Saya terlibat sebagai pembekal mesin dobi layan diri kerana melihat peluang dan potensi perniagaan ini yang mempunyai masa depan cerah berikutan ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk tempatan. Bermula sebagai pembekal mesin dobi konvensional sejak 10 tahun lalu, permintaan perkhidmatan dobi berkembang positif setiap tahun.


“Namun, sejak empat tahun lalu, permintaan perkhidmatan dobi layan diri pula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan. Ia mendorong saya menjadi pembekal mesin dobi layan diri dengan menawarkan pakej perniagaan serendah RM100,000,” katanya.


Walaupun Mohd Fazli tidak memiliki kedai dobi sendiri, beliau berpengalaman selama 10 tahun dalam perniagaan tersebut dan melahirkan lebih 150 usahawan berjaya yang mencatatkan pendapatan lumayan.


Mohd Fazli tidak menoleh ke belakang lagi dalam meneruskan usahanya melahirkan usahawan dobi kerana ia memberikan kepuasan kepadanya untuk melihat orang lain mencapai kejayaan.


“Saya mahu mereka berjaya dalam bidang ini dan banyak perkara yang boleh diterokai. Saya ingin membantu mereka menjadi sebuah syarikat lebih kukuh, berdaya saing dan mencatat pertumbuhan berpotensi untuk jangka panjang,” katanya.


 


c/H: Asal peniaga yong tau fu


 


Mengimbas kembali penglibatannya dalam perniagaan, Mohd Fazli bermula sebagai peniaga yong tau fu sepenuh masa di beberapa pasar malam di Kedah selepas meninggalkan kerjayanya sebagai juruteknik komputer pada 14 tahun lalu.


“Saya memang minat berniaga tetapi bekerja dahulu untuk mencari pengalaman. Namun, selepas terlibat dalam bidang perniagaan, ia memberikan kepuasan kepada saya. Pada 2008, saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan berjinak-jinak dalam perniagaan kedai dobi menerusi Sunflower Laundry dengan bermodalkam RM30,000,” katanya.


Bagaimanapun katanya, sebagai pengusaha dobi, beliau mahukan cabaran dan mahu menerokai bidang tersebut yang memenuhi minatnya.


“Pengalaman mengendalikan kedai dobi konvensional memberikan suntikan semangat untuk menerokai segmen baharu iaitu membekalkan kelengkapan dan peralatan untuk kedai dobi layan diri kepada pengusaha dobi layan diri di seluruh negara.


“Ia memberikan cabaran yang berbeza kerana sebagai pembekal, saya perlu memenuhi kehendak pengusaha kedai dobi layan diri dan memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya.


Ditanya mengenai penglibatannya dalam bidang perniagaan dobi sedangkan beliau berkelulusan dalam bidang teknologi maklumat, Mohd Fazli menegaskan, minat yang mendalam dan melihat peluang terhadap sesuatu perniagaan menyebabkan beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan tersebut.


Betulkan persepsi


Bagaimanapun katanya, sepanjang menjadi pembekal, kebanyakan usahawan kedai dobi layan diri sering dipengaruhi dengan perkara yang tidak benar.


“Mereka dimomokkan dengan kos yang tinggi untuk memulakan perniagaan ini antara RM400,000 sehingga RM500,000 sedangkan modal yang diperlukan adalah lebih rendah. Alasan yang digunakan ialah kosnya mahal kerana ia beroperasi 24 jam,” katanya.


Melihat kepada persepsi tersebut, Mohd Fazli membuktikan bahawa modal permulaan dobi layan diri tidaklah semahal yang digembar-gemburkan kerana ia ditawarkan serendah RM100,000.


“Sejak empat tahun lalu saya membantu membangunkan usahawan dobi layan diri 24 jam di seluruh negara. Jika dahulu saya hanya menyediakan bekalan kelengkapan dan peralatan dobi layan diri sahaja, kini saya turut memberikan latihan dan teknik pemasaran dalam memajukan perniagaan mereka,” katanya.


Lebih membanggakan apabila, setakat ini, lebih 150 usahawan berjaya mendapatkan lima angka sebulan dan hanya bekerja selama sejam sahaja setiap hari.


Mohd Fazli menjadi pembekal sahaja kerana melihat potensi perniagaan itu dalam jangka masa panjang.


“Kini 70 peratus rakyat Malaysia menggunakan dobi layan diri dan selebihnya adalah dobi konvensional. Malahan, industri francais perniagaan dobi di negara ini juga merancakkan pembukaan dobi layan diri,” katanya.


Sasar lahir 20 usahawan setiap tahun


Mohd Fazli berkata, bermodalkan RM100,000 usahawan yang dibantu akan mendapat pakej lengkap iaitu terdiri daripada kelengkapan dan peralatan dobi layan diri seperti empat mesin pencuci pakaian untuk 10 kilogram (kg), empat mesin pengering 10 kg, aksesori, mesin pertukaran wang, sabun automatik dan token.


“Usahawan perlu menyediakan kedai kosong sahaja. Sekiranya usahawan tidak mempunyai modal yang mencukupi, FNZ boleh membantu mendapatkan pembiayaan daripada bank yang terpilih. Kebanyakan usahawan yang dibantu dan mendapat bimbingan FNZ menjalankan perniagaan di kawasan strategik sama ada di bandar dan luar bandar.


“Selain menyediakan pakej serendah RM100,000, FNZ juga menyediakan pakej RM150,000, RM170,000, RM200,000, RM250,000 dan RM300,000. Pakej-pakej tersebut juga mendapat permintaan tinggi terutamanya bagi mereka yang mempunyai modal besar,” katanya.


Beliau berkata, kebanyakan usahawan boleh menjana pendapatan lima angka sebulan, malahan kos overhead yang ditanggung antara RM3,000 sehingga RM5,000 sahaja.


“Permintaan terhadap dobi layan diri bukanlah lagi dianggap permintaan bermusim tetapi ia merupakan satu keperluan apabila mencatatkan peningkatan penggunaannya sebanyak tiga kali ganda sejak akhir-akhir ini.


“Faktor yang menyumbang kepada peningkatan tersebut adalah penambahan penduduk di sesuatu kawasan dan memerlukan kemudahan tersebut terutamanya mereka yang mempunyai kawasan jemur kain yang terhad. Malahan disebabkan ada kalanya kain dijemur mengambil masa beberapa hari untuk kering, orang ramai mengambil langkah mengeringkannya di kedai dobi layan diri sahaja,” katanya.


Mohd Fazli berkata, beliau membekalkan mesin dobi layan diri dari Amerika Syarikat berjenama Huebsch dan Speed Queen pelbagai saiz iaitu 10kg, 14kg, 16kg dan 28kg.


“Pada 2018, kami membantu 20 usahawan sama ada di bandar dan luar bandar di Semenanjung Malaysia iaitu Jitra, Pendang;Kedah dan Bukit Bintang;Kuala Lumpur. Kami menyasarkan penambahan penyertaan dalam perniagaan ini,” katanya.


Servis selepas jualan


Beliau berkata, selain menyediakan pakej yang menarik, FNZ juga memberikan perkhidmatan selepas jualan kepada usahawan bagi memastikan mesin dan pengering sentiasa berfungsi dengan baik.


“Terdapat 10 vendor yang dilantik dan berdaftar yang merupakan ‘technical support’ FNZ di seluruh negara. Setakat ini, kami memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan kami.


“Jangka hayat mesin dan pengering pakaian lebih 20 tahun. Jika dijaga dan diselenggara mengikut jadual yang ditetapkan, ia akan bertahan lama,” katanya.


Malahan, dobi layan diri yang memberikan peluang kepada pengguna membasuh, mengering dan melipat sendiri pakaian mereka di kedai dobi layan diri memberikan mereka kepuasan kerana mereka melihat sendiri kualiti dan tahap kebersihan pakaian mereka.


Selain menjadi pembekal mesin layan diri, FNZ juga mengeluarkan produk pencuci jenama Q-Fazz Kleen terdiri daripada produk pencuci pakaian, pinggan mangkuk, lantai dan tandas.


“Semua produk ini dihasilkan di kilang yang terletak di Ijok dan pasarannya adalah seluruh negara,” katanya.


Mohd Fazli berkata, FNZ menyasarkan untuk melahirkan 20 usahawan pada setiap tahun dan mengalukan mereka yang berminat untuk menyertainya dengan menghubungi FNZ atau melayari laman webnya untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci.  


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]