Jangan kacau Mara, fokus isu pendidikan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – “Jangan kacau Mara, institusi ini perlu terus kekal sebagai satu entiti yang berwibawa,” kata bekas Ahli Majlis Mara, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin.


Beliau berkata, kerajaan PH perlu fokus kepada agenda Bumiputera terutama isu pendidikan, bukannya mempolitikkan Mara yang selama ini memayungi orang Melayu dan Bumiputera.


Katanya, sejak ditubuhkan 52 tahun lalu, Mara banyak membantu melahirkan pelajar cemerlang dalam kalangan Bumiputera terutama di kawasan luar bandar.


“Tujuan penubuhan Mara ini di bawah Akta Parlimen untuk membantu membangunkan Bumiputera dan Melayu.


“Jadi tidak ada salah pun. Saya kesal dan hairan mengapa Mara hendak dipecahkan sedangkan ia tidak ada isu pun sebelum ini jika di bawah satu kementerian,” katanya kepada Sinar Harian.


Beliau berkata, kerajaan seharusnya memberi fokus menjadikan pendidikan kepada satu aliran iaitu aliran kebangsaan dan bukan membuat perubahan yang tidak relevan dalam Mara.


Menurutnya, tindakan itu seperti cuba menutup isu mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang kini hebat diperdebatkan.


“Apa sahaja alasan kerajaan PH, jika mereka hendak pecahkan kedudukan Mara kepada tiga kementerian itu, saya fikir mereka perlu utamakan penyeragaman pendidikan terlebih dahulu bukannya mengiktiraf UEC,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: PM putuskan kedudukan Mara dalam masa terdekat]


Nazir berkata, tidak adil jika ia berlaku kerana Mara sudah melahirkan lebih 1 juta graduan di negara ini.


Katanya lagi, sistem dipraktikkan dalam Mara selama ini pun tidak pernah membelakangkan sesiapa berbeza dengan apa yang berlaku hari ini seolah-olah sekolah Melayu dianaktirikan.


Sebelum ini, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kedudukan Mara akan diputuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat.


Katanya, kawal selia dan tanggungjawab agensi Bumiputera itu masih dalam peringkat perbincangan Kabinet.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]