JKM bagi sokongan psikologi

in Edisi by


KULIM – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberi khidmat sokongan psikologi kepada keluarga bayi yang menghidap kanser kelopak mata di Taman Serai Wangi, Padang Serai.


Pegawai JKM Kulim, Mohamad Zarir Mohamad Khozali berkata, pihaknya telah mengunjungi keluarga dan adik Nur Aina Maisarah Mohd Faizal itu di kediamannya selepas dibenarkan pulang dari hospital.


Menurutnya, JKM mendapati keluarga ini lebih memerlukan sokongan psikologi untuk memberi semangat kepada mereka supaya lebih tabah menghadapi situasi berkenaan.


“Keluarga ini dalam perhatian pihak kita. Kita juga telah berkunjung ke rumah mereka mengambil maklumat latar berlakang dan pekerjaan ketua keluarga terbabit.


“Kita dapati Mohd Faizal Haidzir seorang penjawat awam dan masih boleh bergantung dengan pendapatannya, dan anaknya juga mendapat rawatan percuma di hospital.


“Tapi kita akan bagi sokongan psikologi untuk mereka, supaya mereka terus bersemangat nak hadapi dugaan tersebut,” katanya.


Katanya, orang ramai yang memerlukan khidmat kaunseling atau sokongan psikologi juga boleh dapatkan daripada JKM.


“Tak semestinya bantuan dari segi wang tunai atau elaun bulanan, untuk khidmat kaunseling juga kita boleh berikan,” katanya.


Sinar Harian melaporkan keadaan bayi comel Nur Aina yang kini menghidap kanser kelopak mata tahap tiga dan sedang mendapatkan rawatan kemoterapi untuk memulihkan sakitnya.


Ibunya, Norma Isa, 37, dan bapanya, Mohd Faizal turut meminta rakyat Malaysia berdoa supaya anak bongsu daripada tiga beradiknya itu kembali pulih dan sihat.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]