Kenyataan Kula Segaran: Isu berat, perlu diberi perhatian

in Nasional by


JOHOR BAHRU – Kenyataan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran yang mengatakan Melayu pendatang disifatkan Pemuda Umno Johor sebagai provokasi dan boleh menggangu keamanan negara.


Pandangan itu dinyatakan Ketua Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah yang turut mewakili kesemua perwakilannya selepas selesai membuat laporan polis.


“Kami (Pemuda Umno Johor) membantah sekeras-kerasnya kenyataan dikeluarkan Kula. Sepatutnya  kenyataan seperti itu tidak boleh dikeluarkan oleh seorang menteri yang berkhidmat untuk negara.


“Ingin ditegaskan di sini, laporan polis yang kami buat hari ini bukan mahu mencetuskan huru-hara, provokasi atau sentimen perkauman.


“Tetapi kami sebagai sebuah parti yang memperjuangkan  bangsa Melayu melihatnya sebagai sesuatu yang serius dan berat”,  katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di pejabat Polis Sentral, di sini, hari ini.


Beliau yang turut diiringi kira-kira 20 perwakilan Pemuda Umno Johor turut menggesa Naib Pengerusi DAP itu untuk bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang perkara tidak diingini berlaku.


Hairi berkata, pihaknya juga bersedia serta mahu mendengar segala fakta atau sumber yang kukuh oleh pemimpin berkenaan sehingga dirinya berani mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman seperti itu.


“Kita mahu dengan fakta dan penjelasan yang kukuh daripada beliau, perkara ini adalah sesuatu yang berat dan tidak boleh diremehkan,” katanya.


Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan baharu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir mewakili Bersatu perlu mengotakan janji mereka selama ini yang mahu memberi penekanan pada ‘Kedaulatan undang-undang’ atau ‘Rule of law’.


“Sesiapa saja boleh meminta maaf, tetapi kami tetap mahu tindakan dan siasatan segera dilakukan terhadap beliau oleh pihak berkuasa,” katanya .


“Apakah pendirian mereka (Bersatu) dalam isu ini. Sebagai parti yang menggunakan nama pribumi dan ahlinya berbangsa melayu, adakah mereka hanya mahu duduk diam sahaja dan menikus?’ katanya lagi.


Terdahulu, laporan akhbar tempatan sebelum ini melaporkan Kula Segaran mendakwa Melayu merupakan golongan pendatang di negara ini sementara penduduk asal merupakan penganut agama Hindu yang telah mula menjejakkan kaki di negara ini sejak 2,500 tahun lalu.


Kula Segaran dikatakan berkata demikian di dalam bahasa Tamil pada satu program di Nilai, Negeri Sembilan minggu lalu.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]