'Kula Segaran sila letak jawatan'

in Nasional by


KOTA BHARU – Pemuda Umno Kelantan mendesak Menteri Sumber Manusia,  M Kula Segaran meletakkan jawatan kerana kenyataan beliau yang didakwa mencetuskan api perkauman dalam kalangan rakyat di negara ini.


Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, permohonan maaf Naib Pengerusi DAP itu menerusi kenyataan akhbar sahaja tidak mencukupi untuk memadam api perkauman yang dicetuskan beliau sendiri.


Menurutnya, menteri berkenaan perlu membuat permohonan maaf rasmi secara terbuka bagi meredakan ketegangan yang berlaku.


“Tindakan beliau mengganggu gugat keharmonian kaum menghakis kredibiliti beliau sebagai seorang menteri di negara ini.


“Jadi, silalah letak jawatan sebagai Menteri Sumber Manusia kerana tindakan anda jelas menggambarkan bahawasanya anda tidak layak menduduki jawatan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat laporan polis bersama 50 ahli Pemuda dan Puteri Umno Kelantan.


Laporan dibuat di Balai Polis Kota Bharu, hari ini bertujuan meminta pihak berkuasa menyiasat menteri berkenaan susulan kenyataannya mengenai Melayu pendatang.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]