Lawabana angkat produk seni kraft tempatan ke persada dunia

in Bisnes by


LAWABANA Sdn Bhd, syarikat terlibat dalam perkhidmatan runcit internet yang menawarkan barangan kraf dan artisan terus komited mengangkat produk kesenian hasil lokal bukan saja dalam pasaran tempatan tetapi ke peringkat antarabangsa.


Pengasas syarikat, Datin Seri Norazlina Awang Had berkata, Lawabana yang bermaksud ‘sangat cantik’ adalah kata-kata motivasi di sebalik kewujudan syarikat yang akan membawa produk kraf seni tempatan sehingga ke persada dunia.


“Lawabana amat menghargai keindahan seni kraf tangan tradisional. Melihatkan produk seni kraf kini semakin terpinggir, sejak dua tahun lalu kami di Lawabana giat mencari pengusaha kraf di serata Borneo bertujuan membantu mereka memasarkan produk kraf seni mereka melalui platform e-dagang iaitu salah satu trend pemasaran dan jualan terkini,” katanya.


Tambahnya, antara lain objektif kewujudan Lawabana adalah memelihara seni dan kraf tradisional yang semakin kurang mendapat perhatian masyarakat.


“Generasi muda tidak lagi berminat menjadikan bidang kraf tangan sebagai satu kerjaya dan tiada inisiatif untuk mempelajari serta mewarisi kesenian itu.


Justeru, dengan memperkenalkan dan mengkomersialkan kraf tradisional ini kepada pasaran tempatan dan luar negara, Lawabana ingin meningkatkan


kesedaran tentang warisan budaya yang kaya ini sebenarnya masih ada lagi yang mengusahakannya.


“Seni tradisional itu perlu dipertahankan demi manfaat generasi masa depan. Sebagai salah satu langkah mengekalkan dan memupuk minat itu adalah dengan menjadikannya sebagai perniagaan menguntungkan,” katanya.


Pemegang diploma dalam Reka Bentuk Grafik dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing dan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Grafik di Auckland University of Technology, New Zealand ini berkata, Lawabana menggunakan pelbagai platform pasaran antaranya e-dagang, pameran dan publisiti, agar produk itu tidak lagi hanya dipasarkan menerusi cara tradisional.


“Bagaimanapun sukar untuk pengusaha menggunakan platform sedemikian kerana ia memerlukan kepakaran dan sumber kewangan.


“Oleh itu, bagi membantu pengusaha kraf terbabit, bekerjasama dengan Lawabana adalah langkah berani dan efektif untuk meneroka pasaran perniagaan yang lebih luas.


“E-dagang akan membawa produk kraf ini sehingga ke peringkat antarabangsa.


“Walaupun, pembuatan dan rekaan produk masih mengekalkan keaslian buatan serta kreativiti tersendiri, namun Lawabana mahu pengusaha menghasilkan produk yang boleh disesuaikan bagi memenuhi estetika dan gaya hidup yang lebih kontemporari untuk pasaran di luar negara,” katanya.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]