Malaysia lokasi strategik aktiviti penyeludupan manusia

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kedudukan di tengah-tengah rantau Asean merupakan antara faktor Malaysia menjadi lokasi paling strategik sama ada sebagai negara destinasi atau transit bagi aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.


Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata kedudukan ekonomi negara yang kukuh dan pembangunan pesat menjadi daya tarikan kepada pendatang tanpa izin masuk ke negara ini.


“Oleh itu, Malaysia adalah negara transit yang ideal untuk pemerdagangan manusia dan juga titik destinasi untuk aktiviti penyeludupan,” katanya berucap melancarkan kempen SHUT (Stop Human Trafficking) sempena Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia di sini hari ini.


Alwi, yang juga pengerusi Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), berkata Malaysia telah melangkah jauh dalam usaha membanteras pemerdagangan manusia.


“Kami serius dalam memerangi jenayah ini dengan undang-undang berkaitan telah dua kali disemak dan dipinda pada 2010 dan 2015. Kami turut melancarkan talian khas (hotline) tahun lepas untuk orang ramai membuat aduan atau memberi maklumat,” katanya, merujuk kepada Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.


Ketika ditanya sama ada terdapat pegawai penguat kuasa terbabit dengan aktiviti jenayah pemerdagangan manusia, Alwi berkata pihaknya tidak menerima laporan berhubung kegiatan itu.


“Orang ramai hendaklah membuat laporan polis sekiranya mana-mana penguat kuasa disyaki terbabit dengan aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya ketika ditemui pemberita.


Sementara itu, Presiden SHUT, Dini Dalilah Wan Nordin berkata kesedaran masyarakat negara ini mengenai aktiviti permerdagangan manusia masih rendah.


Susulan itu, beliau berkata pihaknya terpanggil untuk menjalankan kempen SHUT dalam kalangan orang ramai serta mengadakan aktiviti melibatkan pelajar sekolah, kolej dan universiti.


“Melalui program ini, kita akan memberi penerangan apakah pemerdagangan mDCanusia, perlindungan kepada mangsa dan cara untuk melaporkan jenayah tersebut,” katanya. – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]