OKU kaya hasil minta sedekah

in Edisi Terengganu by


MARANG – Peminta sedekah kaya! Mungkin itu yang paling tepat untuk dilabelkan kepada sekumpulan kecil peminta sedekah dari penempatan orang kurang upaya (OKU) di Taman Rahmat di sini.


Ini kerana, seorang bapa tunggal cacat penglihatan yang ditemui mengakui mampu memperoleh di antara RM200 hingga RM300 dalam tempoh beberapa jam hasil meminta sedekah di pasar Rusila setiap Jumaat.


Lebih mengejutkan apabila tinjauan Sinar Harian di pasar mingguan itu mendapati dia bukan keseorangan tetapi terdapat kira-kira tujuh lagi peminta sedekah yang kebanyakannya berasal dari Taman Rahmat.


Seorang lagi peminta sedekah, seorang wanita juga cacat penglihatan dan mempunyai empat cucu turut mengakui melakukan aktiviti itu secara mingguan di pasar sama dengan pendapatan lebih banyak.


Nenek empat cucu itu berkata, dia menaiki ‘prebet sapu’ bersama rakan rakan lain ke pasar mingguan berkenaan dan aktiviti itu bukan baharu tetapi sudah menjadi rutin mereka untuk ke sana setiap Jumaat.


Menurutnya, ada juga kumpulan lain lebih gemar keluar pada waktu malam untuk meminta sedekah di pasar-pasar malam di sekitar Dungun berbanding di pasar pagi di Rusila kerana tidak mahu berpanas.


Sudah dapat bantuan tapi terus meminta


Apa yang dikesalkan ialah kesemua mereka yang terbabit dalam aktiviti berkenaan adalah penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi kebajikan lain termasuk Maidam.

Hasyim (kiri), Tahir


Keadaan ini berlaku berkemungkinan disebabkan pendapatan lumayan yang diperoleh sekali gus menjadi faktor mendorong mereka terus meminta sedekah walaupun telah dibantu pelbagai pihak.


Mereka juga tidak serik kerana sikap mudah simpati orang ramai menyebabkan kumpulan kecil OKU terbabit mengambil kesempatan menjadikan kegiatan itu sebagai kerjaya mereka untuk hidup senang.


Keadaan itu bagaimanapun tidak melibatkan kesemua penghuni OKU dari Taman Rahmat malah ada penghuni di situ tidak menyokong aktiviti itu kerana ia memberikan gambaran buruk terhadap mereka.


Hasyim Omar, 61, berkata, setiap keluarga OKU di situ menerima bantuan JKM tetapi ada juga mendakwa ia tidak cukup untuk menampung keluarga terutama yang mempunyai anak agak ramai.


Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ada dalam kalangan ketua keluarga meminta sedekah walaupun sudah acap kali mereka diberikan amaran malah ditangkap pihak berkuasa terlibat ketika meminta sedekah.


“Saya juga OKU, tetapi malu untuk meminta sedekah dan sehingga hari ini tidak pernah terlibat dalam kegiatan meminta sedekah dan berusaha sendiri untuk menyara keluarga,” katanya ditemui semalam.


‘Kerjaya’ menguntungkan


Bekas Pengerusi Penghuni Rumah Kebajikan Taman Rahmat, Tahir Musa pula berpendapat, selagi masyarakat masih terus memberikan sumbangan selagi itulah masalah berkenaan akan terus berlaku.

Golongan ini mampu memperoleh di antara RM200 hingga RM300 dalam tempoh beberapa jam hasil meminta sedekah di pasar Rusila.


Katanya yang cacat penglihatan, sikap pemurah itu merupakan antara punca utama kenapa masih ada yang terlibat dengan aktiviti itu dan menjadikannya sebagai satu kerjaya menguntungkan.


“Tidak dapat dinafikan aktiviti meminta sedekah ini masih berlaku walaupun telah diselamatkan berkali-kali. Mereka yang terbabit akan kembali melakukannya kerana ia cara mudah untuk mendapatkan wang,” katanya.


Pegawai Pejabat Kebajikan daerah, Mardiah Mohamed ketika dimaklumkan mengenainya juga kesal dengan perkembangan tersebut dan menyifatkannya golongan terbabit sebagai tidak serik.


Beliau berkata, selain operasi dari masa ke masa pihaknya turut mengadakan lawatan ke Taman Rahmat bagi memastikan kebajikan penghuni taman itu sentiasa diberikan perhatian dari setiap aspek.  


“Jadi kami mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mencegah aktiviti mengemis di daerah ini dengan memaklumkan kepada pihak Pejabat Kebajikan daerah jika ia berlaku di sekitar daerah ini,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]