Pemuda Umno PP tolak permohonan Kula Segaran

in Edisi by


GEORGETOWN – Pemuda Umno Pulau Pinang meminta agar Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran tetap disiasat walaupun telah memohon maaf ke atas kenyataan kontroversi yang dikeluarkannya baru-baru ini.


Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Anuar Faisal Yahaya berkata, siasatan perlu dijalankan dan perkara itu tidak boleh dibiarkan berikutan ucapan menteri tersebut memberi impak negatif kepada masyarakat terutamanya kaum Melayu.


Menurutnya, kenyataan Naib Presiden DAP itu juga bersifat menghasut yang boleh menimbulkan ketegangan kaum dan ketidakstabilan dalam masyarakat.


“Kita menolak permohonan maaf oleh menteri tersebut kerana kenyataan beliau telah menyebabkan kerosakan di kalangan kaum. Permohonan maafnya itu tidak boleh memadamkan kerosakan yang telah dibuat khususnya terhadap keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.


“Kita tak mahu budaya mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan perkauman dan kemudiannya memohon maaf berlaku di kalangan masyarakat kita. Jelas perbuatan itu telah mencetuskan kemarahan kaum tertentu. Oleh itu, kami tetap mahu Kula disiasat dengan apa yang telah dilakukannya,” katanya.


Terdahulu, Anuar bersama beberapa ahli Pemuda Umno Pulau Pinang membuat dua laporan polis berhubung kenyataan yang dibuat Kula Segaran ketika berucap di Negeri Sembilan baru-baru ini.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]