Perlukah majikan jadi pendengar yang baik?

in Bisnes by


PERSOALAN:


Keluhan dan aduan daripada pekerja terhadap pihak pengurusan atasan bukanlah sesuatu yang janggal dalam sesebuah syarikat.


Namun, sebagai majikan yang sudah semestinya memfokuskan terhadap pulangan terbaik untuk syarikat, ada masanya keluhan dan aduan melibat staf bawahan dan ketua atasan kurang diberi perhatian.


Persoalannya, untuk jangka masa panjang jika perkara ini dibiarkan berlarutan kesan tidak baik berkemungkinan besar akan berlaku seterusnya memberi impak kepada warga kerja dan operasi syarikat.


Justeru, apakah ciri-ciri menjadi ‘pendengar’ bukanlah keutamaan bagi seorang majikan?


JAWAPAN:


Memahami apa yang berlaku di dalam mana-mana organisasi adalah penting. Ini bagi membolehkan tindakan segera diambil jika ada apa-apa perkara yang memudaratkan perniagaan atau organisasi menjadi besar dan tidak terkawal.


Apa yang penting juga ialah kejujuran pihak pengurusan di dalam memahami isu pekerja. Adakah hanya untuk melindungi kepentingan perniagaan atau benar-benar ikhlas untuk menjaga kepentingan pekerja-pekerjanya?


Bagi saya, sebagai penyumbang utama kepada mana-mana organisasi, kebajikan pekerja adalah perkara yang perlu diutamakan.


Bagaimana mahu memahami isu yang ada di kalangan pekerja? Hanya tunggu bila mereka meluahkan perasaan? Atau pengurusan perlu adakan proses yang lebih proaktif?


Mengadakan perjumpaan berkala di antara pemimpin dan pekerja boleh dijadikan satu cara supaya isu-isu yang ada boleh diluahkan secara bersemuka.


Mungkin boleh dicari penyelesaian segera. Di samping itu, pekerja-pekerja yang dikira berpengaruh boleh juga dijemput untuk memberikan pandangan mereka berkenaan suasana di dalam organisasi.


Ini membolehkan perkara-perkara yang membara dikesan dan disejukkan. Saluran perhubungan terbuka di antara pekerja dengan pengurusan yang menghormati kerahsiaan boleh menjadi kaedah untuk membolehkan pekerja meluahkan masalah mereka secara peribadi.


Organisasi yang ada orang yang khusus untuk menguruskan hal ehwal pekerja tentunya akan lebih terkehadapan di dalam menagani isu ini. Jika jentera dan mesin pun ada mekanik yang menyelia inikan pula pekerja yang merupakan insan yang boleh berfikir dan ada perasaan.


Biar apa pun kaedah yang digunakan, pendekatan yang ikhlas akan memberi kesan yang lebih. Ini adalah kerana manusia ada jantunghatinya. Mereka boleh membezakan pendekan yang bersahaja berbanding dengan yang ikhlas. Barulah selesai masalah.


Penulis: Nik Mohd Hasyudeen Yusoff (Penulis adalah pengasa Inovastra Capital Sdn Bhd)


 




 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]