Program Khas Haji tajaan Yayasan 1MDB tidak diteruskan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Program Khas Haji tajaan Yayasan 1MDB tidak diteruskan memandangkan sumber dana tersebut mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sejak 2011 hingga tahun lepas, seramai 5,711 jemaah haji telah ditaja dengan kos hampir RM57 juta.


“Kami mewarisi keputusan terdahulu yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum ini dan kami juga terpaksa mengambil sikap yang baharu dalam isu ini.


“Oleh itu program ini tidak diteruskan bagi musim haji 2018 memandangkan sumber dana bagi program tersebut adalah daripada pihak yang berkaitan dengan 1MDB yang masih dalam siasatan pihak berkuasa,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian), hari ini.


Mengulas lanjut, beliau berkata, keutamaan keutamaan pemberian kuota adalah untuk mereka yang pertama kali mengerjakan haji.


“Proses pemilihan calon-calon daripada Yayasan 1MDB itu dipilih oleh yayasan itu sendiri sebelum  Tabung Haji semak sama ada mereka ini adalah pertama kali atau sebaliknya.


“Saya ingin jelaskan bahawa kuota mereka ini datang dari Yayasan 1MDB, jadi kerajaan baharu tidak akan mengambil kuota ini daripada Tabung Haji walaupun penerima tawaran sanggup membayar sendiri untuk mengerjakan haji,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]