Sindiket ‘Ali Baba’ punca harga ikan melambung

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) tidak menafikan wujudnya sindiket menjalankan aktiviti menjual hasil laut berkualiti kepada warga asing di tengah lautan


Pemangku Pengarah Maritim Terengganu, Komander Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, sindiket yang dikenali ‘Ali Baba’ dipercayai didalangi warga tempatan yang memilih lokasi di tengah laut sebagai tempat urusniaga selamat.


Menurutnya, kewujudan sindiket ‘Ali Baba’ ini juga antara punca harga ikan berkualiti yang didakwa melambung tinggi di pasaran Terenganu sejak kebelakangan ini.


“Siasatan awal mendapati sindiket ini menjadi orang tengah antara nelayan tempatan dengan agen di negara asing khasnya dari Vietnam.


“Biasanya sindiket ini menjalankan urusniaga di tengah laut dengan memindahkan hasil laut yang berkualiti tinggi dari bot mereka ke dalam bot nelayan asing Vietnam untuk dijual kepada agen negara tersebut.


“Ini disebabkan permintaan tinggi bagi ikan berkualiti gred A di Vietnam untuk dieksport ke pasaran negara Kesatuan Eropah dan susulan itu  mendorong agen dari negara terbabit membeli ikan dengan harga yang mahal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim, di sini, semalam.


Muhammad Suffi berkata, kini pihaknya sedang berusaha mengesan sindiket  ‘Ali Baba’ bagi membanteras aktiviti penjualan hasil laut yang sekaligus mengawal harga ikan berkualiti daripada terus meningkat.


“Sehingga kini masih tiada rekod tangkapan ahli sindiket ‘Ali Baba’, bagaimanapun kita percaya dan yakin, pasti ada tangkapan dalam tempoh terdekat ini,” katanya.


Sementara itu, Muhammad Suffi berkata, dalam tempoh Januari hingga 30 Julai tahun ini, sebanyak 32 buah bot asing terutama dari Vietnam ditahan melibatkan jumlah rampasan sebanyak RM 48 juta.


Terbaharu dua buah bot nelayan Vietnam bersama 24 awak-awak termasuk tekong yang berusia antara 15 hingga 51 tahun ditahan di dua lokasi berasingan iaitu antara 58.9 dan 125.8 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, kelmarin.


Muhammad Suffi berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua jam dalam adegan kejar mengejar selain bot tersebut bertindak agresif dengan menghimpit kapal Maritim semata-mata mengelak ditahan.


“Setelah ditahan secara paksa, pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati mereka memalsukan dokumen dan menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan bagi mengelirukan pihak berkuasa.


“Nilai rampasan bagi kedua-dua bot termasuk hasil tangkapan laut, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan bernilai keseluruhan RM3 Juta,” katanya.


Kedua-dua buah bot itu di bawa ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1) (a) 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah dan tidak memiliki lesen sah.


Turut ditahan untuk siasatan dibawah Seksyen 6(1) (1) (c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai pengenalan diri dan permit kerja yang sah serta Seksyen 14(3) (b) Akta Perikanan kerana memalsukan dokumen bot.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]