Sumareh sedia wakili Harimau Malaya

in Sukan by


MOHAMADOU Sumareh menghantar isyarat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa dia sudah bersedia menyarung jersi skuad Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih Tan Cheng Hoe.


Pemain import Pahang yang baru mendapat taraf kerakyatan negara ini berkata, dia hanya menunggu panggilan rasmi daripada pengendali berkenaan untuk menyertai skuad kebangsaan. 


“Ia berita yang amat bagus sekiranya FAM memberi lampu hijau (keizinan) kepada saya. Jika diberi peluang bermain sudah tentu saya gembira dapat menyertai pasukan negara ini.


“Jadi, kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku seterusnya. Sekiranya jurulatih berminat memanggil saya, sudah tentu saya bersedia bila-bila masa,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu, malam kelmarin.


Sebelum ini, badan induk bola sepak kebangsaan itu memberi bayangan bersedia membuka pintu kepada pemain naturalisasi mewakili skuad negara.


Pemain sayap berusia 23 tahun itu sudah mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia April lalu dan beraksi dalam Liga Malaysia sejak 2013 bermula menyarung jersi Polis Diraja Malaysia (2013-2015), Perlis (2016) dan Pahang, 2017 hingga musim ini.


Difahamkan, pemain kelahiran Fajara, Gambia itu sudah menetap di negara ini sejak berusia 13 tahun dan memulakan kerjaya bola sepak secara profesional, empat tahun kemudian.


Sekiranya menjadi kenyataan, Sumareh bakal menjadi pemain naturalisasi pertama di negara ini.


Sebelum ini, pemain berdarah campuran seperti Natxo Insa dari Johor Darul Ta’zim (JDT), Brendan Gan (Perak), Matthew Davies (Pahang), Junior Eldstal (JDT II) dan Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka United) pernah mewakili skuad kebangsaan.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]