Taktik sembunyi gagal

in Edisi by


PELABUHAN KLANG – Tindakan seorang lelaki warga Bangladesh yang cuba bersembunyi di belakang tempat duduk dalam feri penumpang bagi mengelakkan ditahan gagal apabila dia dicekup Jabatan Maritim Selangor, petang semalam.


Pengarah Maritim Negeri, Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan dalam satu operasi rutin lebih kurang jam 7.09 petang kira-kira 10 batu nautika dari Pelabuhan Klang.


Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap feri tersebut menemui seorang warga asing dipercayai warganegara Bangladesh menyorok di belakang tempat duduk penumpang untuk mengelakkan diri dari dicekup.


“Lelaki yang dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Pulau Ketam itu enggan beri kerjasama sepenuhnya apabila ditahan dan cuba larikan diri dari pihak berkuasa.


“Dia ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana didapati tiada dokumen pengenalan diri yang sah. Feri penumpang yang diperiksa dilepaskan setelah selesai pemeriksaan manakala warga asing ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin untuk siasatan lanjut,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]