Usaha selamatkan 500 pendaki

in Global by


JAKARTA – INDONESIA. Pihak berkuasa Indonesia, hari ini melancarkan operasi menyelamat lebih 500 pendaki dan jurupandu arah yang terkandas akibat tanah runtuh di gunung berapi aktif di Lombok, sehari selepas gempa kuat menggegar pulau pelancongan popular itu.


Helikopter telah dihantar ke lereng Gunung Rinjani yang merupakan laluan pendakian popular pelancong di mana pasukan penyelamat menggugurkan bekalan makanan kepada mangsa di beberapa lokasi.


Gempa berkekuatan 6.4 skala Richter, awal pagi semalam telah menyebabkan runtuhan batu dan lumpur yang menghalang pendaki untuk turun dengan selamat.


“Masih terdapat kira-kira 560 pendaki yang masih terperangkap,” kata Ketua Renjer Taman Negara Rinjani, Sudiyono.  


Mereka yang terperangkap termasuk rakyat Amerika Syarikat, Perancis, Netherlands, Thailand dan Jerman.


Sementara itu, pihak berkuasa taman negara terbabit memaklumkan salah satu daripada laluan utama ke puncak Rinjani telah dibersihkan bagi memudahkan usaha menyelamat tersebut.


“Laluan mendaki Senaru kini tidak lagi terhalang,” katanya menerusi Twitter.


Terdahulu, jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho memberitahu kira-kira 820 pendaki berada di lereng gunung berapi tersebut apabila gempa itu berlaku.


Jelasnya, seramai 246 berjaya dipindahkan dan 617 daripada pendaki itu adalah warga asing.


Dalam satu kenyataan lain, jurucakap agensi mencari dan menyelamat Mataram, Agus Hendra Sanjaya berkata, operasi itu dijangka berlangsung sehingga hari ini.


Jumlah korban dalam kejadian itu dilaporkan telah mencecah sekurang-kurangnya 16 orang manakala ratusan struktur musnah. – Agensi


Source: SH Global

[featured-video-plus]