Cadangan iktiraf komunis perlu dihentikan

in Uncategorized by


IPOH – Perdebatan agar perjuangan kemerdekaan golongan berhaluan kiri termasuk Parti Komunis Malaya (PKM) dimasukkan dalam buku teks sejarah, perlu dihentikan segera.


Pesara 69 Komando (VAT 69), Naim Abdullah, 62, berkata, sebarang perbincangan mengenai isu itu tidak harus diteruskan kerana dikhuatiri menimbulkan perasaan marah yang boleh membawa kepada rusuhan sepertimana peristiwa 13 Mei 1969 lalu.


“Daripada dibakar hati yang tengah berperang dan menjadi api dalam sekam, eloklah perkara ini dicantas dan dihentikan, semangat orang Melayu ini lain, jika semuanya bersatu dan memikirkan perkara ini dengan serius, tak mustahil apa yang berlaku pada 13 Mei itu boleh berulang.


“Tambahan pula, apa lagi yang perlu kita agungkan dan berapa banyak lagi fahaman komunis yang perlu ada di negara kita, cukuplah dengan ramainya pasukan keselamatan kita yang mati akibat bertempur kerana mempertahankan negara,” katanya ketika ditemui sempena sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri Perak di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.


Beliau mengulas gesaan pihak tertentu untuk menilai semula buku teks sejarah dengan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan golongan berhaluan kiri seperti dicadangkan seorang aktivis, Fadiah Nadwa Fikri dalam forum Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah? yang berlangsung, Ahad lalu.


Fadiah dilaporkan berkata, hal itu kerana golongan kiri termasuk PKM turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara.


Naim yang pernah berkhidmat sebagai Pegawai Latihan Cawangan Payung Terjun dalam pasukan VAT69 selama 25 tahun menganggap mana-mana pihak dan individu yang bangkit memperjuangkan golongan berhaluan kiri itu sebagai anasir baharu komunis kepada negara.


Katanya, kumpulan itu menjadi bukti bahawa perjuangan komunis tidak pernah berhenti untuk terus menggugat keharmonian negara ini.


“Mereka (pejuang komunis) hanya meletakkan senjata, sedangkan fahaman dan ideologi masih lagi dipegang oleh puak-puak tertentu hingga sekarang.


“Sepatutnya, generasi Y (muda) yang ada sekarang tanya diri sendiri apa sumbangan mereka kepada negara, kami pasukan keselamatan ini tidak minta diagungkan, sekurang-kurangnya hormatilah perjuangan terdahulu,” katanya.


Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri, turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]