Cubaan bunuh karier politik

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Beberapa pemimpin Umno bahagian menepis dakwaan bahawa pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Pengerusi Umno Selangor tidak mendapat persetujuan oleh kebanyakan kepimpinan peringkat bahagian negeri ini.


Ketua Umno Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, beliau melihat dakwaan berkenaan sebagai satu usaha untuk memecah belahkan Umno Selangor.


Armand juga tidak menolak dakwaan itu mempunyai motif untuk membunuh karakter politik Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno.


“Itu (dakwaan)tak betul, satu tuduhan yang tidak berasas dan permainan politik persepsi yang cuba menganggu gugat pentadbiran Umno Selangor.


“Mesyuarat Perhubungan Umno Selangor telah pun diadakan dan semua ketua-ketua Umno bahagian di Selangor sebulat suara menyokong kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Pengerusi Umno Selangor.


“Laporan tersebut jelas bertujuan untuk menjatuhkan imej dan kredibilti Datuk Seri Ismail Sabri. Saya melihat ini adalah gerakan tangan ajaib pihak lawan untuk membunuh karakter beliau sebagai Naib Presiden Umno,” katanya.


Menurutnya, selepas berakhirnya PRU14, kepimpinan tertinggi Umno telah memutuskan bahawa perlunya ada pembaharuan di dalam kepimpinan Umno negeri dan Ismail Sabri dilihat mempunyai kapasiti yang cukup untuk memberikan nafas baru kepada kepimpinan.


“Bagi saya lantikan Datuk Seri Ismail Sabri adalah satu pendekatan untuk stabilkan politik Umno di Selangor dan kita mengambil pendekatan yang baru sebagai strategi agar Umno terus maju ke hadapan.


“Umno Selangor diakui memerlukan nafas baru dari segi strategi dan gerak kerja bagi memastikan Umno terus kekal relevan di bumi Selangor, dan beliau memenuhi kriteria yang diperlukan.


“Tentang kenyataan Setiausaha Agong Umno, Tan Sri Annuar Musa yang kata lantikan tiga naib presiden umno termasuk Ismail Sabri adalah bersifat sementara, itu kita serahkan pada keputusan Presiden Umno,” katanya.


Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari turut menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan ia sebagai laporan yang tidak berasas.


“Mana timbul cerita ini? Tidak betul, kita di peringkat bahagian sentiasa menyokong penuh keputusan kepimpinan tertinggi Umno.


“Hal ini termasuklah soal lantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Ketua Umno Selangor, malah saya kira beliau berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik setakat ini,” katanya.


Mengulas prestasi sokongan dan komitmen yang diberikan oleh Ismail Sabri sepanjang membantu kempen BN untuk PRK Sg Kandis, Armand menegaskan Naib Presiden Umno itu menjalankan tugasnya dengan baik.


“Sepanjang tempoh kempen PRK Sg Kandis beliau telah jalankan tugas dengan baik khususnya dalam menggerakkan jentera parti dan membantu kempen.


“Beliau juga turun ke kawasan Pusat Daerah Mengundi yang ada untuk bertemu ahli peringkat akar umbi, jentera dan pengundi-pengundi di Dun Sg Kandis sejak awal hingga kini,” katanya.


Terdahulu,sebuah portal berita tempatan melaporkan bahawa majoriti ketua bahagian Umno di Selangor menolak pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Pengerusi Umno Selangor.


Memetik sumber, portal  berkenaan melaporkan seorang ketua bahagian Umno sebagai berkata, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya memanggil semua 22 ketua bahagian untuk berbincang serta meminta pendapat sebelum membuat keputusan.


Sebelum ini Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, berkata keputusan meletakkan tiga naib presiden Umno sebagai Pengerusi Umno negeri termasuk Ismail Sabri di Selangor, adalah bersifat sementara.            

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]