DAP sentiasa bantu jentera kempen

in Edisi Selangor KL by


KLANG РCalon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan pimpinan DAP sentiasa membantu  jentera kempen pada PRK Dun Sungai Kandis ini.


Menurut beliau, walaupun ada  pemimpin sibuk dengan tugasan harian, mereka sempat turun padang membantu kempen kali ini bagi memastikan kemenangan lebih besar.


“Sepanjang minggu lalu, Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau dan Adun Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee turut berkempen.


“Pada 2 Ogos ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga akan turun manakala Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula akan turun pada malam kemuncak nanti,” katanya ketika sidang media hari ini.


Dalam pada itu, Zawawi yakin akan meraih sokongan berterusan daripada pengundi bukan Melayu susulan kehadiran pemimpin DAP dalam kempen kali ini.


Menurut Zawawi, pihaknya juga memberi penerangan kepada masyarakat di Dun ini mengenai peranan DAP yang kononnnya dikatakan memusuhi Islam dan masyarakat Melayu.


“Masyarakat Melayu hanya dimomokkan dengan mainan persepsi kononnya DAP memusuhi Islam dan Melayu dan saya telah turun padang bagi memberi penjelasan.


“Malah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika turun kempen ada memaklumkan bahawa bantuan rumah ibadat akan tetap diteruskan,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Zawawi berkata, nasib semua kaum akan terus diperjuangkan jika PH dapat mengekalkan kemenangan dalam PRK Sungai Kandis kali ini.


Beliau berkata,jika diberi mandat pada kali ini, pihaknya akan menggalas tanggungjawab sebaik mungkin bagi mewakili suara semua pihak tanpa mengira kaum di Dun berkenaan.


“Kepelbagaian agama, bangsa dan budaya merupakan aset berharga di Selangor dan negara ini.


“Menerusi kepelbagaian ini kita bertuah dapat mengenali antara satu sama lain dan hidup secara harmoni,” katanya sewaktu sidang media hari ini.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]