Dimamah ulat, tahan sakit, lapar 3 hari, demi negara

in Nasional by


PUTRAJAYA – Walaupun dimamah ulat dan terpaksa menahan kesakitan dan rasa lapar selama tiga hari berikutan terkena dua tembakan, Renjer Abang Bolhi Abang Doladi tetap bertarung nyawa untuk berjuang mempertahankan kedaulatan negara daripada serangan komunis dalam satu pertempuran di Hutan Ulu Kinta Perak pada tahun 1971.


Dalam Operasi Iblis 1971 (Op Iblis), Abang Bolhi yang berasal dari Sri Aman, Sarawak terkena tembakan di bahagian belakang sehingga menembusi dada kanan dan satu lagi tembakan di jari kelingking kirinya dalam pertempuran itu.


Berpegang kepada kata-kata azimat ‘Agi Idup Agi Ngelaban’, pemuda yang hanya berusia 24 tahun ketika itu dan sudah mengalami kecederaan, berjaya melepaskan beberapa tembakan dan membunuh tiga penganas komunis.


Namun begitu, berikutan kedudukan pada ketika itu di kawasan cerun yang tersembunyi, beliau terpaksa menahan kesakitan dan kelaparan selama tiga hari kerana gagal ditemui rakan seperjuangannya.


“Berikutan kecederaan, saya tidak boleh bergerak dan luka di badan mulai dimamah ulat… Selama tiga hari, saya terpaksa menahan lapar dengan hanya minum air sahaja.


“Masa itu, saya bertekad untuk hidup kerana mahu berjumpa ibu bapa saya yang berada di kampung… syukur kerana Tuhan memanjangkan usia saya sehingga ke hari ini,” katanya selepas sambutan Hari Pahlawan 2018 di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1, di sini hari ini.


Abang Bolhi berkata, kecederaan itu mengambil masa hampir lima bulan untuk sembuh namun beliau menyifatkan ia hanya ‘perkara kecil’ kerana hasratnya adalah untuk memperjuangkan kedaulatan negara daripada serangan komunis.


Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke majlis yang penuh istiadat itu.


Pada sambutan Hari Pahlawan hari ini, pantomime “Operasi Iblis 1971” dipersembahan untuk mengenang jasa Kapten Mohana Chandran yang terkorban dalam pertempuran dan mencederakan Abang bolhi dan renjer Bajau Ladi.


Abang Bolhi bersama lima lagi rakan seperjuangan dalam pertempuran itu diberi penghormatan menghadap Sultan Muhammad V.


Op Iblis dilancarkan Markas Briged Kedua lnfantri Malaysia pada tahun 1971 berikutan penemuan kehadiran pengganas komunis di kawasan Hutan Korbu, Sungai Siput dan Tanah Hitam, Perak pada 31 Mei 1971.


Ia digerakkan bagi mencari dan memusnahkan Unit Penggempur ke-5 Pasukan Gerakan Komunis (PGK) yang menjadikan kawasan Bukit Berapit, Air Kala, Hutan Simpan Kinta dan Slim River, Perak sebagai kubu baharu mereka.


Pada 3 Jun 1971, kumpulan tinjau khas berkekuatan 23 orang anggota campuran yang diketuai Mohana Chandran bergerak menuju ke kawasan Tanah Hitam Chemor melalui Hutan Rizab Bukit Kinta, Perak bagi mengesan pengganas komunis itu.


Pada 13 Jun 1971, kumpulan itu diaturgerak dan berjaya mengesan kem musuh yang mempunayi 25 hingga 30 orang komunis dan atas taat setia dan semangat cintakan negara, Mohana Chandran dan kumpulannya telah menyerang kedudukan kem musuh.


Dalam kejadian berbalas tembakan, Mohana Chandran terkena tembakan tetapi beliau tetap berjuang dan berbalas tembakan sehingga sebutir peluru musuh menembusi kepalanya. -Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]