Disamun lelaki dipukau ‘berkopiah’

in Edisi by


HULU BESUT – Seorang warga emas mendakwa kerugian RM10,000 apabila barang kemas miliknya lesap selepas dikatakan dipukau oleh seorang lelaki yang berpenampilan seperti seorang ustaz dalam kejadian di Pasir Akar, di sini, hujung minggu lepas.


Agak menyentuh perasaan Wan Khatijah Wan Ishak, 75, apabila satu bentuk cincin emas yang dilarikan baru sahaja dibelinya hasil jualan buah durian di kebunnya musim ini.


Katanya, kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu berlaku di kawasan pasar malam di pekan tersebut ketika dia ke situ untuk membeli beberapa keperluan peribadi.


Menurutnya, ketika menuju ke sebuah gerai, tiba-tiba dia dihampiri seorang lelaki berusia lingkungan 50an, berbadan agak gempal, memakai baju kemeja lengan pendek dan kopiah.


“Lelaki yang bertutur bukan loghat tempatan itu berpura-pura bertanyakan rumah seseorang yang dikenali dengan panggilan ustaz tapi makcik lupa dah nama ustaz yang dia sebut tu.


“Makcik kata tak tahu, kemudian lelaki itu menunjukkan dua biji batu berwarna coklat kononnya mempunyai kelebihan tertentu untuk diberikan kepada ustaz tersebut,” katanya ketika ditemui di rumah anaknya di pekan Pasir Akar.


Wan Khatijah berkata, dia menolak untuk menerima batu permata ketika lelaki itu mahu menawarkan batu itu kepadanya.


Menurutnya, tidak lama kemudian datang seorang lelaki lingkungan usia 40 an pula berlagak seperti tidak mengenali lelaki berkopiah itu.


“Makcik kemudian ditarik ke satu sudut yang berjauhan sedikit dengan orang ramai, lalu lelaki berkopiah itu meminta makcik masukkan barang kemas ke dalam sampul surat.


“Makcik jadi seperti  tidak tahu apa yang berlaku (tidak sedar) apabila menurut sahaja arahan lelaki berkopiah itu supaya masukkan sebentuk cincin, seutas gelang tangan dan rantai leher ke dalam satu satu sampul surat,” katanya yang belajar agama dan menetap di Pondok Ubudiyyah Pasir Akar.


Wan Khatijah memberitahu lagi, lelaki berkopiah itu kemudian berpesan kepadanya supaya pulang melakukan solat hajat terlebih dahulu sebelum membuka sampul surat tersebut.


Katanya, kemudian lelaki itu berlalu meninggalkannya dan selepas berjalan beberapa langkah terdetik di hatinya untuk  membuka sampul itu.


“Apabila membukanya didapati barang kemasnya tidak ada, sebaliknya yang ada hanya dua keping besi bulat bersaiz kecil dan wang syiling campur-campur bernilai kira-kira RM3.  Makcik tak sedar langsung waktu bila dia bagi sampul surat lain ke makcik,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]