Kementerian Pendidikan keluarkan tender 1BestariNet

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan tidak memuaskan disediakan YTL Communications Sdn Bhd di bawah projek 1BestariNet dan bercadang mengeluarkan tender baharu tahun depan, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.


Sehingga kini, kerajaan sudah membayar RM741 juta dan fasa kedua projek bernilai RM4.45 bilion, selama 15 tahun itu, dijadualkan tamat pada Jun 2019, katanya.


Di bawah projek berkenaan, syarikat itu dikehendaki menyediakan sambungan Internet untuk 10,000 sekolah di seluruh negara.


“Kementerian akan memilih kertas cadangan terbaik daripada pemain pasaran yang memberikan harga serta kelajuan internet terbaik dan kontrak akan dianugerahkan berasaskan tender terbuka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.


Teo juga menyatakan bahawa, kelajuan semasa adalah antara enam Megabits sesaat (Mbps) serta 10 Mbps dan sebarang usaha untuk menaik taraf kepada sambungan gentian optik akan menelan belanja kira-kira RM19,000 sebulan bagi sebuah sekolah


1BestariNet, disasarkan untuk meningkatkan sistem teknologi komunikasi maklumat dan perkhidmatan SchoolNet di sekolah melalui sambungan jalur lebar 4G dan suasana pembelajaran virtual. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]