Korea Utara mungkir janji?

in Global by


WASHINGTON – AMERIKA SYARIKAT. Agensi risikan Amerika Syarikat (AS) mendakwa satelit milik mereka telah mengesan aktiviti baharu yang menunjukkan Korea Utara mungkin sedang membina peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang mana jangkauannya mampu mencapai Washington.


Semalam, The Washington Post memetik kenyataan pegawai kerajaan melaporkan imej satelit dan pengimejan inframerah menunjukkan terdapat pergerakan kenderaan keluar dan masuk di pusat kemudahan pembangunan peluru berpandu di Sanumdong terletak di pinggir Pyongyang.


“Ia adalah lokasi sama yang menghasilkan ICBM pertama dan kenderaan pelancar angkasa Korea Utara. Berdasarkan imej yang diambil beberapa minggu lalu, mungkin terdapat satu atau dua misil bahan bakar cecair sedang dibangunkan. Kami melihat aktiviti sama seperti sebelum ini,” jelas laporan itu lagi.


Minggu lalu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo memaklumkan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat bahawa Pyongyang terus menghasilkan bahan bakar untuk bom nuklear walaupun ia berjanji untuk melaksanakan proses nyahnuklear.


Sementara itu, bekas perunding Jabatan Negara AS, Joel Wit menegaskan adalah tidak realistik untuk berharap Korea Utara menghentikan program nuklear mereka sehingga perjanjian hitam putih dimeterai.


Pyongyang, Seoul adakan rundingan ketenteraan


Korea Utara dan Korea Selatan, hari ini mengadakan rundingan ketenteraan bagi membina kepercayaan selepas AS mengesan aktiviti baharu di pusat kemudahan pembangunan misil di Pyongyang, sekali gus mencetuskan keraguan tentang niat sebenar negara itu.


Mesyuarat kedua antara kedua-dua negara itu diadakan di Zon Bebas Tentera (DMZ) di Panmunjom adalah susulan daripada sidang kemuncak pada April lalu yang mana Seoul dan Pyongyang bersetuju untuk meredakan ketegangan dan menghentikan permusuhan.


Difahamkan, perbincangan pada kali ini adalah untuk menamatkan penggunaan senjata api dan penempatan anggota keselamatan di DMZ serta penggalian semula secara bersama pusara tentera yang terkorban dalam Perang Korea pada 1950-53.


Minggu lalu, Kementerian Pertahanan di Seoul mengumumkan rancangan untuk mengurangkan penempatan pengawal pos pemeriksaan dan peralatan di sempadan sebagai langkah awal untuk melaksanakan perjanjian damai tersebut. – Agensi


Source: SH Global

[featured-video-plus]