
JERANTUT – Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Mazlan Mohamad, 64, dinobatkan sebagai Tokoh Pendidik Negeri Pahang sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tengku Ampuan Hajah Afzan Pahang, semalam.
Ikon Guru Inovatif pula milikĀ guru pra sekolah, Sekolah Kebangsaan Permatang Badak, Kuantan, Zubaidah Mohaidin.
Mazlan berkata, anugerah itu satu penghormatan selepas 35 tahun sebagai pendidik.
Mazlan menyifatkan anugerah berkenaan yang tertinggi di peringkat negeri walaupun sebelum ini beliau pernah menerima pelbagai penghargaan.
“Saya melakukan banyak perkara untuk membantu melonjakkan pendidikan negara terutama membantu golongan yang kurang berkemampuan serta masyarakat Orang Asli untuk berjaya dalam pelajaran,” katanya kepada media selepas menerima anugerah berkenaan semalam.
Hadiah disampaikan Pengarah Bahagian Sukan KPM, Dr Mehander Singh Nahar Singh.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Dr Tajuddin Mohd Yunus; Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, Ali Afandi Abdul Majid dan Pegawai Daerah, Tengku Nur Asmaliza Ku Lah.
Pada majlis itu, Mazlan dan Zubaidah menerima wang tajaan Bank Islam dan Bank Simpanan Nasional (BSN), masing-masingĀ RM3,000 dan RM2000.
Mazlan memberitahu, warga pendidik kini berdepan cabaran besar untuk melahirkan bangsa Malaysia yang mampu bersaing dengan masyarakat global.
“Kita tidak mahu golongan kurang berkemampuan dan masyarakat Orang Asli ini terus ketinggalan. Jadi usahauntuk membantu mereka telah dijalankan sebelum ini sehingga ramai yang sudah berjaya,” katanya.
Sementara itu bagi penerima anugerah Ikon Guru Inovatif 2018, Zubaidah Mohaidin, 49, akui teruja dengan pengiktirafan yang memberi nilai tersendiri buatnya.
Berkhidmat di sekolah itu sejak 25 tahun lalu, Zubaidah nekad menabur bakti dan mencurahkan idea demi pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.
“Saya merancang untuk terus berkarya dan berinovasi untuk anak-anak yang memerlukan bantuan dalam pembelajaran,” katanya yang pernah menerima pelbagai anugerah.
Zubaidah menghasilkan tiga inovasi iaitu kaedah NIBT (Nyanyi, ingat, baca, tulis), NIBT Jawi dan NIBT Sayangku yang digunakan untuk kanak-kanak sekolah dan pemulihan.
Menurutnya, kaedah secara santai bagi lebih efisien dan mudah diterima.
“Malah menerusi kaedah ini,tempoh penerimaan dan pemahaman mereka lebih cepat, kira-kira dua bulan berbanding sebelum ini.
Zubaidah juga berharap golongan guru diberi peluang untuk berinovasi.
“Pendidik di negara ini sebenarnya kreatif dan mempunyai banyak idea cuma mereka mungkin tidak tahu platform untuk mengembangkannya,” katanya.
Source: SH Edisi
[featured-video-plus]