Naib juara Rockanova jual durian

in Edisi by


JERANTUT – Musim durian menjanjikan sumber pendapatan yang berbaloi dan kesempatan itu turut dimanfaatkan bagi finalis rancangan realiti hiburan Rockanova, Azmi Khan Setapar.


Namun usaha tersebut bukan sekadar ingin menambahkan pendapatan sebaliknya bagi memastikan impiannya untuk menerbitkan album solo pertama tercapai.


Naib juara rancangan terbitan Astro pada Mei tahun lalu itu sanggup menjadi peraih durian untuk mencari dana bagi merialisasikan impiannya.


Menurutnya, dia memerlukan dana hampir RM15,000 lagi untuk menyempurnakan impiannya itu.


“Bagaimanapun hajat saya memiliki album sendiri masih belum tercapai kerana kosnya agak tinggi dan saya terus berusaha untuk mengumpulkan dana itu,” katanya.


Katanya, setakat ini dia telah mencipta tiga buah lagu yang berjudul Dendang Perwira, Cinta Untukku dan Awek Tol untuk dimuatkan dalam albumnya nanti.

Azmi Khan Setapar (tiga, kiri) bersama rakan-rakannya menunjukkan durian yang dijual digerainya berhampiran Pekan Damak, Jerantut, Pahang.


“Memandangkan permintaan raja buah ini sangat tinggi dari kawasan Damak serta Ulu Cheka dan sangat menjadi musim ini, saya sifatkan ia peluang terbaik untuk menjana pendapatan,” akuinya yang berasal dari Kampung Damak.


Dalam pada itu, Azmi memberitahu tidak sendirian kerana perniagaan duriannya turut dibantu tiga rakannya iaitu Muhamad Zulkifli Shamsuddin, 30, Mohd Yusof Abdul Mutalib, 31, dan Mohd Zaidi Zakaria, 29.


“Selain menjana pendapatan, kami juga ingin membantu penduduk kampung memasarkan durian mereka dengan harga berpatutan.


“Kami beli durian daripada orang kampung dan menjualnya secara runcit serta pukal kepada orang ramai serta pemborong terutama dari Lembah Klang,” jelasnya yang membuka gerai di tepi jalan berhampiran Pekan Damak, dekat sini sejak tiga minggu lalu.


Katanya, durian kampung dan klon menjadi pilihan kerana permintaannya sangat tinggi dengan harga antara RM5 hingga RM8 sekilogram.


Menurutnya, durian dari daerah ini mempunyai rasa yang lebih sedap sehingga mereka mampu menjualnya hampir dua tan sehari dan dijangka mampu mengeluarkan hasil hingga September depan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]