Perak angkat tema ‘sama-sama’

in Uncategorized by


IPOH – Kerajaan Perak mengangkat konsep ‘sama-sama’ yang diambil daripada tema Sambutan Hari Kebangsaan iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’ pada penganjuran Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat negeri, tahun ini.


Exco Kerajaan negeri, Tan Kar Hing berkata, tema sama-sama itu dipilih atas maksud kesepakatan untuk sentiasa bersama membuang persepsi perkauman tanpa mengira bangsa, latar belakang, agama dan parti politik.


Menurutnya, tema itu juga menjadi lambang semangat sejarah di mana rakyat perlu diingatkan tentang pentingnya memperjuangkan kemerdekaan yang meningkatkan semangat kekitaan.


“Semua aktiviti yang kita atur mempunyai beberapa tema tersendiri antaranya, sama-sama forum, sama-sama suara, sama-sama melakar, sama-sama pop corn night dan sama-sama gema.


“Program akan bermula pada 12 Ogos ini berlangsung selama tujuh minggu di 20 lokasi yang lebih tertumpu di Pekan Lama, Kinta Riverfront dan Taman Rekreasi DR Seenivasagam,” katanya pada sidang media, semalam.


Beliau berkata, festival berkenaan disifatkan program perintis berkonsepkan kesenian dan kebudayaan yang menggabungkan budaya, bahasa dan persembahan tradisional negeri ini.


Katanya, pemilihan lokasi juga dibuat selaras dengan kawasan tersebut yang merupakan tarikan pelancong dan seni.


“Pada program sama-sama main, aktiviti itu memberi peluang orang awam untuk mengimbas kembali kenangan zaman kanak-kanak mereka dengan pelbagai permainan tradisional.


“Bagi program Sama-sama forum pula, ia membolehkan golongan pakar seperti ahli akademi dan orang ternama menyumbang idea melalui tajuk-tajuk seperti identiti, kesenian, kebudayaan, pembangunan dan Malaysia baharu,” katanya.


Kar Hing berkata, pihaknya mensasarkan kira-kira 5,000 pengunjung terutama anak-anak memeriahkan aktiviti yang dianjurkan.


Pihaknya juga mengalu-alukan bantuan sukarelawan untuk membantu kelancaran aktiviti tersebut.


Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh layari www.samasamaperak.my.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]