Pilih calon ikut ‘track record’ bukan ikut ketua

in Politik by


KUALA LUMPUR – Ahli PKR yang bakal mengundi pada pemilihan parti itu kali ini dinasihatkan agar memilih calon berdasarkan ‘track record’ calon bukannya dipengaruhi sesiapa.


Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, ahli PKR harus memilih ‘line up’ yang mereka sudah kaji memiliki track record, prestasi, kepimpinan, keterampilan dan perjuangan mereka.


Menurutnya, elemen ini yang harus ditekankan kepada ahli PKR supaya tidak membuat pilihan berdasarkan ‘ketua’ ibarat gembala lembu yang hanya mengikut arahan.


“Ini pemilihan dalaman parti memang ada pasukan (kem) yang akan bersaing, ia bukan isu. Tak salah ada pasukan yang ingin bertanding menawarkan yang terbaik untuk parti.


“Ahli PKR kena melihat ‘line up’ yang mereka sudah kaji track record , prestasi, kepimpinan, keterampilan, perjuangan mereka. Jadi saya nak pilihan dibuat secara matang,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.


Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan kem Rafizi Ramli yang bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR tidak turut menyenaraikan Zuraida.


“Dalam situasi ini Rafizi tidak tawarkan saya, tapi tak mengapa. Niat kita untuk perkukuhkan parti,” ujarnya.


Sebelum ini, Rafizi membariskan empat nama yang bersamanya untuk menduduki jawatan Naib Presiden iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga anak sulung Anwar, Nurul Izzah; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.


Turut diumumkan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh sebagai calon Ketua Wanita dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang akan bertanding kerusi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).


Setakat ini hanya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi yang sah merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]