Projek ETS Gemas-JB siap 20 peratus

in Edisi by


ISKANDAR PUTERI – Kementerian Pengangkutan komited meneruskan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru (ETS) sepertimana dirancang sebelum ini.


Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek melibatkan jajaran landasan sepanjang 192km itu kini hampir 20 peratus siap.


Katanya, pembangunan sistem pengangkutan di Johor membabitkan 11 stesen baharu dengan kos sebanyak RM8.9 bilion dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Oktober 2021.


“Kerajaan baharu komited untuk meneruskan projek ETS ini sekaligus akan menyaksikan pemodenan sistem pengangkutan menghubungkan Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor menjelang 2022.


“Projek ini berjalan lancar dan sehingga kini telah siap hampir 20 peratus termasuk melibatkan projek pengambilalihan tanah manakala pembinaan stesen dan landasan akan bermula tahun depan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke Pejabat Menteri Besar di Kota Iskandar, semalam.


Anthony berkata, pihaknya juga telah meminta pihak kontraktor untuk mengemukakan kertas cadangan mengenai penambahan stesen ETS sepertimana yang dimohon kerajaan negeri antara kawasan Kulai dan juga Kempas.


“Kita akan meminta pihak kontraktor agar melihat dan mengkajinya sebelum  mengemukakan kertas cadangan untuk dipertimbangkan.


“Namun, apa-apa kelulusan tertakluk kepada mesyuarat Kabinet kerana apa yg kita telah tandatandangi sebelum ini ialah hanya melibatkan 11 stesen.


“Apa-apa pertambahan stesen akan menyebabkan pertambahan kos dan kos itu pula perlukan kelulusan Kabinet kerana kerajaan persekutuab amat sensitif tentang kos kerana ketika ini kita kena mengawal kos dengan berhati-hati,” katanya.


Dalam pada itu, Anthony menjelaskan pihaknya tidak menetapkan ‘time frame’ untuk cadangan penambahan stesen itu siap.


“Saya tidak tetapkan ‘time frame’ kerana yang penting sekarang ialah kita bina dahulu landasan itu. Ini kerana, stesen-stesen pula hanya akan mula dibina tahun depan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]