
UDA Holdings Berhad (UDA) menerusi anak syarikat UDA Dayaurus Sdn Bhd (UDSB) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan PCO Lite Electrical Sdn Bhd (PCO Lite).
Pemeteraian MoU tersebut berlangsung dalam satu majlis di Blok Menara Kompleks Pertama, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Melalui perjanjian dipersetujui kedua pihak itu, UDA dan PCO Lite bakal berkongsi kepakaran berhubung pengurusan fasiliti bangunan yang memfokuskan pengubahsuaian sistem pencahayaan.
Pengarah Urusan Kumpulan UDA, Datuk Ahmad Abu Bakar berkata, pemeteraian perjanjian ini juga dilihat sebagai langkah proaktif merebut peluang perniagaan dalam pengubahsuaian pencahayaan konvensional kepada produk pencahayaan berteknologi hijau dan cekap tenaga.
“Kesedaran terhadap penggunaan sistem mesra alam ini semakin meningkat terutama dalam kalangan pemilik bangunan dan pemaju.
“Amalan pengubahsuaian sistem pencahayaan ini menyumbang penjimatan tenaga menghampiri 50 peratus bagi setiap lekapan setiap tahun.
“Penambahan penjimatan tenaga sebanyak 10 peratus sehingga 20 peratus akan berlaku jika menggunakan sistem pencahayaan pintar.
“Melihat kepada penjimatan ini, ramai pemilik bangunan berminat menaiktaraf penggunaan sistem ini dan memperuntukkan bajet bagi pengubahsuaian tahunan mereka,” katanya.
Jelasnya, PCO Lite adalah salah satu pengilang produk lampu terkemuka di Malaysia dengan 40 tahun pengalaman.
Katanya, PCO Lite pakar menghasilkan produk lampu serta aksesori elektrik buatan khas bagi kegunaan dalam dan luar bangunan. Malah, telah menembusi pasaran luar negara. Manakala UDSB adalah peneraju dalam bidang pengurusan fasiliti dengan pengalaman lebih daripada 35 tahun.
Majlis menandatangani MoU itu telah disempurnakan Ketua Pegawai Operasi UDSB, Shamsul Bahri Shamsudin, manakala pihak PCO Lite diwakili Pengarah Urusannya, Lee Huei Chang.
Source: SH Bisnes
[featured-video-plus]