Surat CIA: Tiada kaitan dengan Najib

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (ME10) Datuk Hasanah Abdul Hamid hari ini membuat laporan polis mengenai dakwaan bahawa beliau menulis surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) menjelang PRU14 lalu.


Laporan dibuat di balai polis Travers di Kuala Lumpur pada jam 1 petang hari ini.


Hadir sama, peguam Hasanah, Datuk Shaharuddin Ali.


Memetik laporan Malaysiakini, Hasanah menghabiskan kira-kira satu jam memfailkan laporan tersebut, dengan disertai peguamnya.


Ditanya mengenai laporan itu, Hasanah hanya mengulas bahawa “surat itu tidak ada kaitan dengan Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri)”.


Malah Hasanah juga memohon kepada portal berita itu agar tidak memaparkan wajahnya.


Ini kali pertama Hasanah membuat penampilan dan bertindak susulan laporan berita yang mengaitkan suratnya kepada Pengarah CIA, Gina Haspel meminta kerajaan Amerika Syarikat menyokong Najib dan BN jika “menang tipis” pada PRU lalu.


Difahamkan, surat berkenaan juga menggambarkan Najib sebagai pemimpin progresif yang menyokong AS, manakala Dr Mahathir Mohamad digambarkan sebagai “anti-Barat”.


Najib bagaimanapun menafikan mengetahui kewujudan surat itu mahupun dakwaan memberi arahan kepada Hasanah untuk menulis surat itu.


Susulan dakwaan itu, pasukan peguamnya dijangka mengadakan sidang media di pejabat firma mereka di Sentul, lewat petang ini, tetapi Hasanah tidak akan hadir untuk menjawab soalan daripada media.


Kenyataan media akan dibacakan Shaharuddin disaksikan dua peguam lain iaitu Tan Sri Abd Aziz Abd Rahman dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.


Ia bagi merungkai segala persoalan membabitkan isu penyebaran surat itu kepada CIA pada 4 Mei 2018.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]