'Susah atau senang PH akan laksanakan'

in Politik by


KOTA RAJA – Ahli Parlimen Lumut, Dr Mohd Hatta Md Ramli menjelaskan bahawa manifesto PH akan direalisasikan seperti yang dijanjikan oleh kerajaan.


Menurut beliau, rakyat di negara ini tidak perlu gusar mengenai perkara itu memandangkan pimpinan PH bertanggungjawab untuk melaksanakan janji-janji berkenaan tidak kira sama ada susah atau pun senang.


“Dulu kita buat manifesto juga tapi orang tak beri perhatian dan kita jangan risau apabila orang mula pertikaikan mengenai pelaksanaannya.


“Semuanya dalam pembikinan dan InsyaALLAH ia akan dapat dilaksanakan dalam tempoh pemerintahan PH,” katanya ketika berucap sewaktu Ceramah Khas PRK Sungai Kandis di Jalan Kebun, malam ini.


Sebelum ini, manifesto 10 janji 100 hari PH mendapat kritikan pembangkang yang menyifatkan pelaksanaannya gagal dan tidak dapat dicapai.


Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Hatta memaklumkan bahawa Malaysia pada hari ini berada dalam keadaan teruja memandangkan rakyat kini berhadapan dengan kehidupan baharu dengan pelbagai kebebasan.


Beliau berkata, walaupun PH kini sedang diduga dalam era kebebasan, namun ia merupakan proses pembangunan masyarakat di negara ini.


“Malah, ia (kebebasan) ini juga memberi ruang buat kita untuk memberi penjelasan agar rakyat lebih yakin dengan kepimpinan PH,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Mohd Hatta turut berkeyakinan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bakal meraih sokongan daripada rakyat dalam PRK Sungai Kandis kali ini.


Tambah beliau, kewibawaan dimiliki Mohd Zawawi pastinya bakal memberi kemenangan lebih besar di kerusi tersebut.




 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]