Tambah baik kemudahan nelayan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Pelbagai insentif yang disediakan kerajaan hari ini bagi membantu meningkatkan ekonomi nelayan hanyalah meneruskan apa yang dilakukan kerajaan terdahulu.


Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan, Abu Bakar Dawam berkata, menjadi harapannya supaya setiap kemudahan berkenaan dapat ditambah baik.


“Kemudahan seperti Jeti Pendaratan, Skim Subsidi Minyak Petrol dan Diesel, Insentif Pendaratan Ikan dan Elaun Sara Hidup kepada Nelayan itu sejak dulu lagi sudah ada dan sekarang diteruskan.


“Kami para nelayan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana terus membantu dan bagi saya apa yang ada sekarang hanya perlu ditambah baik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.


Menurutnya, tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang akan melaksanakan proses pemutihan bagi memastikan hanya mereka yang masih menjadi nelayan atau turun ke laut layak menerima elaun sara hidup dan insentif daripada kerajaan adalah wajar.


“Tindakan ini sememangnya perlu dilakukan sejak dahulu lagi tapi malangnya ada sesetengah pihak yang menutup mata.


“Setahu saya pemutihan itu dah dibuat sejak dulu lagi, tapi tak serius barangkali. Berkenaan subsidi minyak petrol dan diesel pula bagi saya sekarang tak timbul isu lagi kerana harga minyak pun dah turun,” katanya.


Terdahulu Sinar Harian melaporkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub memberitahu pelbagai kemudahan bantuan disediakan kerajaan untuk meningkatkan sosial ekonomi nelayan.

 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]