
JERTIH – Lajnah Kebudayaan dan Kesenian (Lestari) Pas Pusat menyifatkan usaha pihak tertentu untuk menulis kembali sejarah tanah air dengan memasukkan jasa komunis adalah pengkhianatan kepada perjuangan umat Islam mengusir penjajah.
Pengerusinya, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, perjuangan komunis bukan bertujuan memerdekakan Tanah Melayu sebaliknya untuk mewujudkan Wilayah ke-19 Republik Komunis China.
Menurutnya, setelah gagal dalam Rundingan Baling pada tahun 1955, Parti Komunis Malaya (PKM) terus melancarkan pemberontakan di Tanah Melayu.
“Walaupun Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1958 namun PKM terus melancarkan serangan bersenjata sehingga mengorbankan dan mencederakan ribuan nyawa membabitkan anggota keselamatan dan orang awam.
“Terlalu besar jenayah yang dilakukan komunis kepada negara ini termasuk juga memusnahkan harta benda, bahkan menjarakkan hubungan antara kaum Melayu dan Cina untuk tempoh yang panjang,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, perjuangan bersenjata PKM hanya tamat pada tahun 1989 setelah ideologi komunis mengalami kegagalan di seluruh dunia.
Menurutnya, generasi muda hari ini tidak mengenali sejarah komunis dan cabang ideologi mereka.
“Di rantau ini juga mereka menumpahkan kezaliman sehingga membunuh ratusan ribu nyawa di Indonesia, Cambodia, Vietnam dan lain-lain wilayah,” katanya.
Sebaliknya beliau mencadangkan adalah lebih baik pejuang kemerdekaan terdiri tokoh ulama dijulang dengan lebih mendalam tentang perjuangan mereka menuntut kemerdekaan di era penjajahan British Haji Hassan Munas (Tok Janggut), Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh, Dr Burhanurddin Al Helmi dan ramai lagi.
Source: SH Edisi Terengganu
[featured-video-plus]