PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

July 2018 - page 2

Dr Mahathir ‘guna’ Azmin sekat pengaruh Anwar?

in Nasional by


SHAH ALAM – Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak spekulasi bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sedang ‘menggunakan’ Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyekat pengaruh beliau (Anwar) dalam kerajaan dan parti.


Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, segala tindak tanduk Dr Mahathir tidak seharusnya diterjemah dalam konteks politik.


“Beliau (Dr Mahathir) punya hujahnya sendiri. Beliau memikirkan kepentingan negara dan institusi. Ketika saya berada dalam jawatan sudah tentu saya perlu tentukan keutamaan saya dan cara saya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tahlil bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei di sini malam ini.


Menurut Anwar, Dr Mahathir seharusnya diberi kebebasan untuk mentadbir negara.


Anwar bagaimanapun mengakui, sukar untuk menghalang mana-mana pihak daripada memberikan pelbagai interpretasi berhubung sesuatu perkara.


“Dari segi menyekat peranan saya, pengaruh saya, secara jujur, saya tidak risau. Saya tahu kekuatan parti saya dan hubungan saya dengan rakan-rakan gabungan (PH),” katanya.


Semalam, Mohamed Azmin yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi menolak dakwaan bahawa Dr Mahathir sedang menggunakan beliau untuk ‘mengawal’ Anwar.


Dalam temu ramah bersama sebuah portal berita, Timbalan Presiden PKR itu menegaskan bahawa kesetiaannya pada ketua umum parti itu tidak sepatutnya dipersoalkan.


Spekulasi membabitkan Mohamed Azmin timbul selepas perdana menteri melantik beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi meskipun telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua.


Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai khabar angin berhubung pertandingan jawatan presiden dalam pemilihan PKR pada Ogos ini, Anwar berkata ia masih belum disahkan secara rasmi setakat ini.


“Desas-desus itu banyak, kita boleh dengar tetapi tidak boleh layan desas-desus sehingga sah. Mohamed Azmin ada jumpa saya di Istanbul dan berbincang secara umum beberapa perkara tetapi tidak pula berbangkit soal ini.


“Belum sah ada pertandingan atau tidak… kalau pun ada pertandingan kita harus hormati prinsip dan etika. Saya percaya Jawatankuasa Pemilihan PKR akan memastikan perkara ini dipatuhi,” katanya. – Bernama


 


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Disamun lelaki dipukau ‘berkopiah’

in Edisi by


HULU BESUT – Seorang warga emas mendakwa kerugian RM10,000 apabila barang kemas miliknya lesap selepas dikatakan dipukau oleh seorang lelaki yang berpenampilan seperti seorang ustaz dalam kejadian di Pasir Akar, di sini, hujung minggu lepas.


Agak menyentuh perasaan Wan Khatijah Wan Ishak, 75, apabila satu bentuk cincin emas yang dilarikan baru sahaja dibelinya hasil jualan buah durian di kebunnya musim ini.


Katanya, kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu berlaku di kawasan pasar malam di pekan tersebut ketika dia ke situ untuk membeli beberapa keperluan peribadi.


Menurutnya, ketika menuju ke sebuah gerai, tiba-tiba dia dihampiri seorang lelaki berusia lingkungan 50an, berbadan agak gempal, memakai baju kemeja lengan pendek dan kopiah.


“Lelaki yang bertutur bukan loghat tempatan itu berpura-pura bertanyakan rumah seseorang yang dikenali dengan panggilan ustaz tapi makcik lupa dah nama ustaz yang dia sebut tu.


“Makcik kata tak tahu, kemudian lelaki itu menunjukkan dua biji batu berwarna coklat kononnya mempunyai kelebihan tertentu untuk diberikan kepada ustaz tersebut,” katanya ketika ditemui di rumah anaknya di pekan Pasir Akar.


Wan Khatijah berkata, dia menolak untuk menerima batu permata ketika lelaki itu mahu menawarkan batu itu kepadanya.


Menurutnya, tidak lama kemudian datang seorang lelaki lingkungan usia 40 an pula berlagak seperti tidak mengenali lelaki berkopiah itu.


“Makcik kemudian ditarik ke satu sudut yang berjauhan sedikit dengan orang ramai, lalu lelaki berkopiah itu meminta makcik masukkan barang kemas ke dalam sampul surat.


“Makcik jadi seperti  tidak tahu apa yang berlaku (tidak sedar) apabila menurut sahaja arahan lelaki berkopiah itu supaya masukkan sebentuk cincin, seutas gelang tangan dan rantai leher ke dalam satu satu sampul surat,” katanya yang belajar agama dan menetap di Pondok Ubudiyyah Pasir Akar.


Wan Khatijah memberitahu lagi, lelaki berkopiah itu kemudian berpesan kepadanya supaya pulang melakukan solat hajat terlebih dahulu sebelum membuka sampul surat tersebut.


Katanya, kemudian lelaki itu berlalu meninggalkannya dan selepas berjalan beberapa langkah terdetik di hatinya untuk  membuka sampul itu.


“Apabila membukanya didapati barang kemasnya tidak ada, sebaliknya yang ada hanya dua keping besi bulat bersaiz kecil dan wang syiling campur-campur bernilai kira-kira RM3.  Makcik tak sedar langsung waktu bila dia bagi sampul surat lain ke makcik,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Disimbah air najis kerana dituduh berzina

in Global by


BANDA ACEH – INDONESIA. Gara-gara dituduh berzina, pasangan ini telah diheret ke tepi jalan dan disimbah dengan air najis.


Rakaman video menunjukkan pasangan terbabit dipaksa mencangkung di sebelah pembetung yang telah dibuka manakala beberapa individu mengisi air kumbahan itu di dalam baldi sebelum menyiram ke atas mereka.


Kejadian itu berlaku di Langsa, sebuah bandar di wilayah Aceh yang tegas melaksanakan undang-undang Islam.   


Pasangan berusia lingkungan 30-an dan hanya dikenali sebagai TSF dan DK.


TSF dilaporkan bekerja sebagai Ketua Lembaga Perancangan Pembangunan Wilayah di bandar Langsa manakala wanita itu adalah kakitangannya.


Ketua agensi agama, Ibrahim Latif berkata, TSF sering ke rumah wanita terbabit.


“Perbuatan mereka sudah lama diperhatikan penduduk setempat. Rumah wanita itu akhirnya diserbu penduduk. TSF cuba menunjukkan sijil ‘nikah siri’ untuk membuktikan status mereka sebagai suami isteri.


“Namun, penduduk kampung mempersoalkan kesahihannya dan terus ‘menghukum’ mereka,” jelasnya lagi.


Difahamkan, kedua-dua mereka telah ditahan dan keaslian sijil pernikahan pasangan itu akan disiasat.


Jika, ia adalah dokumen palsu, mereka bakal dikenakan hukuman sebat di hadapan khalayak ramai. – Daily Mail


Source: SH Global

[featured-video-plus]

Agong ucap selamat jalan kepada jemaah haji

in Nasional by


SEPANG – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat ke Kompleks Tabung Haji (TH) Sepang di sini malam ini, bagi mengucapkan selamat jalan kepada 483 jemaah haji yang akan berlepas ke Tanah Suci awal pagi nanti.


Keberangkatan tiba baginda di kompleks itu pada 10 malam diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan disambut oleh  Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mahmoud Hussen Qattan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh dan Pengerusi TH Tan Sri Mohammed Nor Md Yusof.


Ini merupakan kali pertama Seri Paduka Baginda berkunjung ke kompleks itu selepas lokasi pelepasan haji dipindahkan dari Kelana Jaya.


Majlis dimulakan dengan ucapan menjunjung kasih Mujahid yang antara lain mengingatkan para jemaah haji untuk menjaga tahap kesihatan dan sentiasa mengikuti nasihat dan amalan pemakanan yang disarankan oleh TH dan Kementerian Kesihatan.


Beliau juga menasihati jemaah haji supaya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada ibadat sepanjang berada di Tanah Suci agar memperoleh haji yang mabrur.              


Usai ucapan, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil membacakan doa memohon agar perjalanan para jemaah haji diberkati dan dipermudahkan segala urusan sepanjang menunaikan ibadah.


Laungan azan kemudiannya dikumandangkan oleh Penolong Pengurus Hal Ehwal Islam TH Shafiq Syawal sebagai memuji kebesaran Ilahi yang menerima kumpulan berkenaan sebagai ‘tetamu-Nya’.


Sultan Muhammad V kemudiannya berkenan turun dari pentas utama dan bersalam-salaman sambil mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji KT22 yang dijadual berangkat ke Tanah Suci menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8142 pada 1.35 pagi nanti.


Sehingga kini 17,000 daripada 30,200 jemaah haji Malaysia telah tiba di Madinah dan Makkah. Kesemua jemaah haji Malaysia diterbangkan secara berperingkat menerusi 37 penerbangan yang bermula 14 Julai lepas.


Kumpulan jemaah haji Malaysia yang terakhir dijadualkan tiba di Jeddah pada 15 Ogos. -Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Kerajaan Persekutuan tidak tunai janji royalti

in Edisi by


KOTA BHARU – Kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai royalti minyak Kelantan memperlihatkan kerajaan persekutuan mungkin tidak menunaikan janjinya mengenai tuntutan tersebut.


Setiausaha Pas Negeri, Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi berkata, pihaknya menegaskan bahawa janji 20 peratus royalti adalah berasaskan keuntungan dan bukannya berasaskan pengeluaran sepertimana difahami.


“Kenyataan ini sesungguhnya amat mendukacitakan rakyat di negeri-negeri pengeluar petroleum kerana ia bertentangan dengan janji manifesto PH pada pilihan raya yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan disini.


Menurutnya, sebelum ini kerajaan PH dikatakan akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil.


Ahli Parlimen Tumpat itu juga berkata, jelas dalam kenyataan manifesto sebelum ini merujuk kepada hasil petroleum, bukannya keuntungan.


“Perkara ini juga dinyatakan dalam Perjanjian Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petroliam Nasional Berhad pada 9 Mei 1975.


“Malah, jawapan Perdana Menteri merujuk kepada Penyata Rasmi Parlimen bertarikh 12 November 1975 juga menjelaskan bahawa royalti dibayar berdasarkan ‘nilai petroliam yang dijumpai dan diperolehi di negeri-negeri masing-masing’.


“Berdasarkan justifikasi yang dinyatakan, saya berpendirian jelas bahawa royalti adalah pembayaran wang tunai berdasarkan kepada pengeluaran (gross production).


“Ini juga konsisten dengan maksud asal royalti itu sendiri, berbeza dengan nama dividen dan sebagainya. Namun, pendirian kerajaan selepas memenangi pilihanraya adalah berbeza dari manifestonya. Sekali lagi rakyat tertipu,”katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]

Dakwa anak koma akibat kecuaian

in Uncategorized by


MANJUNG – Sepasang suami isteri mendakwa kecuaian seorang doktor di Hospital Seri Manjung (HSM) merawat anak mereka menyebabkan kanak-kanak berusia dua tahun itu koma sehingga kini.


Muhammad Arif Abdullah, 33, berkata, anak bongsunya Muhammad Taajudin, mengalami demam panas, cirit birit dan muntah pada 28 April lalu sebelum di bawa ke HSM untuk menerima rawatan.


“Dia kemudiannya dimasukkan ke wad untuk rawatan bagi demam panas, muntah dan cirit-birit hingga pada 6 Mei sekitar jam 10 malam anak saya mula lemah dan saya meminta doktor bertugas untuk pindahkan anak saya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.


“Tetapi mereka enggan dan mengatakan anak saya stabil, sehinggalah pada 7 Mei sekitar jam 5.30 pagi anak saya koma dan doktor sampai pada jam 7 pagi sebelum memberi rawatan kepada anak saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.


Tambahnya, anaknya kemudian di bawa menaiki ambulans untuk menerima rawatan di HRPB sehingga stabil sebelum dihantar semula ke HSM seminggu selepas itu dan ditahan di wad sehingga semalam kerana masih belum sedarkan diri.


“Hati ayah dan ibu mana yang boleh tahan melihat anak kami koma tidak sedarkan diri kerana kecuaian pihak hospital dan saya berharap siasatan segera dapat dilakukan agar kami mendapat pembelaan,” katanya.


Menurut Muhammad Arif, dia juga mengesyaki anaknya didera kerana terdapat kesan lebam di belakang anaknya itu dan apabila ditanya tiada sebarang jawapan diberikan.


“Saya dan isteri sudah buat dua laporan polis begitu juga memaklumkan hal ini kepada YB Sivanesan untuk tindakan lanjut tetapi belum menerima sebarang maklum balas,” katanya.


Sementara itu, Exco Kerajaan negeri, A Sivanesan ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan Muhammad Ariff bersama isterinya ada menemuinya di Ipoh minggu lalu dan menceritakan permasalahan mereka kepadanya.


“Mengikut aduan kedua-duanya berpendapat disyaki mungkin ada kecuaian ketika anak mereka menerima rawatan di HSM dan saya meminta mereka membuat laporan kepada pihak hospital supaya siasatan dapat dijalankan.


“Saya juga memaklumkan akan menghantar surat mengenai aduan mereka kepada Ketua Pengarah Kesihatan supaya siasatan segera dapat dijalankan dan hasilnya perlu dimaklumkan kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut,” katanya.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]

Ahmad Maslan pertahankan Mara

in Nasional by


SHAH ALAM – Kerajaan PH diharap dapat bersetuju dengan cadangan bagi memastikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kekal di bawah satu organisasi.


Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ahmad Maslan menerusi laman Twitternya menyatakan sokongannya terhadap cadangan Umno seperti disebut oleh presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Menurutnya, dia juga berharap agar Mara juga tidak dipecahkan kepada beberapa kementerian.


Sebelum ini, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kedudukan Mara akan diputuskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam masa terdekat.


Katanya, kawal selia dan tanggungjawab agensi Bumiputera itu masih dalam peringkat perbincangan Kabinet.


[ARTIKEL BERKAITAN: PM putuskan kedudukan Mara dalam masa terdekat ]


Sementara itu Ahli Parlimen Bera, Datuk Ismail Sabri Yaakob menyatakan kerajaan akan melanggar Akta Mara 1966 sekiranya benar dakwaan fungsi perbadananan itu akan dipecahkan.


Ismail berkata, mengikut Seksyen 36 akta tersebut, perbadanan tersebut diklasifikasikan sebagai Orang Melayu sekali gus tidak boleh diganggu.


[ARTIKEL BERKAITAN: Langgar akta jika pecahkan fungsi Mara]


Sebelum ini, timbul dakwaan yang menyatakan Mara akan dipecahkan ke beberapa kementerian sekali gus mengecilkan peranannya dalam membantu Bumiputera.


Mara ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen bagi memajukan, menggalakkan, memudahkan serta menjalankan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan dalam Persekutuan khususnya di kawasan luar bandar.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

'Susah atau senang PH akan laksanakan'

in Politik by


KOTA RAJA – Ahli Parlimen Lumut, Dr Mohd Hatta Md Ramli menjelaskan bahawa manifesto PH akan direalisasikan seperti yang dijanjikan oleh kerajaan.


Menurut beliau, rakyat di negara ini tidak perlu gusar mengenai perkara itu memandangkan pimpinan PH bertanggungjawab untuk melaksanakan janji-janji berkenaan tidak kira sama ada susah atau pun senang.


“Dulu kita buat manifesto juga tapi orang tak beri perhatian dan kita jangan risau apabila orang mula pertikaikan mengenai pelaksanaannya.


“Semuanya dalam pembikinan dan InsyaALLAH ia akan dapat dilaksanakan dalam tempoh pemerintahan PH,” katanya ketika berucap sewaktu Ceramah Khas PRK Sungai Kandis di Jalan Kebun, malam ini.


Sebelum ini, manifesto 10 janji 100 hari PH mendapat kritikan pembangkang yang menyifatkan pelaksanaannya gagal dan tidak dapat dicapai.


Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd Hatta memaklumkan bahawa Malaysia pada hari ini berada dalam keadaan teruja memandangkan rakyat kini berhadapan dengan kehidupan baharu dengan pelbagai kebebasan.


Beliau berkata, walaupun PH kini sedang diduga dalam era kebebasan, namun ia merupakan proses pembangunan masyarakat di negara ini.


“Malah, ia (kebebasan) ini juga memberi ruang buat kita untuk memberi penjelasan agar rakyat lebih yakin dengan kepimpinan PH,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Mohd Hatta turut berkeyakinan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bakal meraih sokongan daripada rakyat dalam PRK Sungai Kandis kali ini.


Tambah beliau, kewibawaan dimiliki Mohd Zawawi pastinya bakal memberi kemenangan lebih besar di kerusi tersebut.




 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Pengerusi 5 universiti lantikan politik ditamat perkhidmatan

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pengerusi lima universiti awam lantikan politik ditamatkan perkhidmatan hari ini.


Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pegawai tinggi kerajaan yang dilihat tidak boleh bersama memacu perubahan dibawa oleh kerajaan PH akan menggangu proses institusi.


“Kalau kita lihat mutakhir ini bukan hanya di IPTA tetapi di GLC dan juga banyak badan-badan lain berlaku perubahan,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.


Terdahulu, portal The Malaysian Insight melaporkan pengerusi lima universiti awam ditamatkan perkhidmatan hari ini oleh Kementerian Pendidikan.


Antara yang ditamatkan adalah Zaki Azmi dari Universiti Malaysia Sabah, Shufri Mohd Zin dari Universiti Tun Hussein Onn, Kamaruddin Hussin dari Universiti Sultan Zainal Abidin, Noorul Ainur Universiti Sains Malaysia, dan Anuar Ali Universiti Putra Malaysia antara perkhidmatannya ditamatkan hari ini.


Surat itu dikeluarkan pada 23 Julai ditandatangani Menteri Pendidikan.


Mengulas lanjut, Maszlee berkata, mereka bukan menyingkirkan tetapi membuat perubahan.


“Bagi peluang muka baharu dengan semangat yang baharu dan juga semangat reformasi yang lebih baik.


“Kerana kita masih awal dan kita perlukan daripada mereka yang boleh membawa agenda reformasi institusi ke hadapan,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Kerajaan negeri beri amaran

in Edisi by


GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang memberi amaran kepada semua pengusaha premis makanan di negeri ini supaya menjaga kebersihan di tempat masing-masing.


Exco Perumahan dan Kerajaan tempatan, Jagdeep Singh Deo berkata, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan undang-undang termasuk arahan penutupan premis.


“Pada awal tahun ini, kita telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai bandar raya pelancongan terbersih di Asean. Bukan mudah untuk dapat pengiktirafan ini.


“Kita perlu jaga kebersihan. Kalau tidak, ini akan mengancam status atau pengiktirafan yang kita peroleh.


“Saya beri amaran kepada semua pengusaha premis makanan, jangan main-main dengan kerajaan negeri,” katanya kepada media, semalam.


Menurutnya, kerajaan negeri mahu aspek kebersihan sentiasa diberi keutamaan khususnya di tempat awam.


“Kita adalah sebuah kerajaan yang mempraktikkan amalan bersih, hijau, sihat dan selamat.


“Saya juga telah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melakukan operasi memantau kebersihan premis makanan dengan lebih kerap,” katanya.


Jelasnya, tindakan penguat­kuasaan operasi kebersihan yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang telah mengarahkan penutupan sebanyak 165 premis sejak 2015.


“Statistik menunjukkan sebanyak 40 premis diarahkan tutup pada 2015, 2016 (27 premis), 2017 (78 premis) dan 2018 (20 premis).


“Manakala setakat 12 Julai hingga sekarang (semalam), sebanyak 11 premis makanan telah diarahkan tutup,” katanya.


Setakat 12 Julai hingga kini, sebanyak 11 premis makanan telah diarahkan tutup.  


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Kembali UTAMA