Khazanah tetap diuruskan golongan profesional

KUALA LUMPUR – Pelantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad tidak bercanggah dengan manifesto PH.
Menurut Azmin, pelantikan berkenaan merupakan prerogatif perdana menteri dan beliau juga akan memegang jawatan pengerusi mengikut konvensyen.
“Kalau kita lihat balik matlamat penubuhan Khazanah bertujuan menguasai aset strategik negara seperti Telekom, Tenaga Nasional Berhad dan sudah tentu aset strategik ni adalah aset paling penting dalam kedaulatan negara.
“Maka peranan Ketua Eksekutif Negara iaitu perdana menteri penting untuk menjadi Pengerusi Khazanah,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan pelantikan lima ahli lembaga pengarah termasuk Dr Mahathir sebagai pengerusi dan Azmin sebagai ahli lembaga. Turut dilantik Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Mohd Hassan Marican sebagai ahli lembaga.
Mereka mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh sembilan ahli lembaga pengarah sebelum ini yang meletak jawatan beramai-ramai selepas Dr Mahathir secara terbuka mengkritik syarikat itu menyimpang daripada tujuan asal.
Pelantikan itu bagaimanapun dikatakan bercanggah dengan manifesto PH, di mana gabungan itu berjanji akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah di syarikat-syarikat milik kerajaan negeri dari kalangan profesional dan bukan kaitan politik.
Mengulas lanjut, Azmin berkata keputusan melantiknya juga adalah bagi mewakili Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kerana ianya selari dengan hasrat kerajaan PH.
“Untuk menggubal dasar ekonomi dan agenda ekonomi yang baru yang akan kita bentangkan dlm kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) hujung tahun ni.
“Maka peranan kementerian hal ehwal ekonomi untuk memberi tumpuan tentang agenda ekonomi baru yang akan diterajui kerajaan baru ini,” katanya.
Azmin juga turut memberi jaminan pengurusan Khazanah akan tetap diuruskan oleh golongan profesional.
“Di mana perdana menteri sedang meneliti beberapa nama yang akan diumumkan dalam masa terdekat untuk perlantikan sebagai pengurusan Khazanah serta satu dua nama tambahan bagi uruskan Khazanah, pengurusan kewangan dan pentadbiran.
“Ini tidak melibatkan Dr Mahathir dan saya,” katanya.
Mengulas mengenai bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Datuk Charon Wardini Mokhzani antara individu yang dipertimbangkan itu, Azmin berkata itu merupakan prerogatif Pengerusi Khazanah.
“Maka serahkan perkara ini kepada perdana menteri dan umumkan dalam masa terdekat,” tanbahnya.
Sementara itu, mengulas mengenai Singapura yang mahu Malaysia keputusan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) hari ini, Azmin berkata itu merupakan cadangan Singapura.
Bagaimanapun, Azmin berkata pihaknya akan menentukan satu tarikh yang baharu minggu hadapan.
“Kerana agak sibuk dengan sesi Parlimen minggu ini. Diharapkan kita dapat berjumpa awal Ogos bagi membincangkan perkara ini,” katanya.
Source: SH Nasional
[featured-video-plus]