PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

July 2018 - page 408

Ahmad Razif berlapang dada terima kekalahan

in Politik by


KUALA NERUS – Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menerima kegagalan beliau mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus dalam pemilihan parti itu semalam dengan berlapang dada.


Adun Seberang Takir itu berkata, fokusnya kini adalah untuk membina penyatuan dalam kalangan ahli parti dan bangkit kembali membina kekuatan.


“Saya terima keputusan dengan berlapang dada. Adat pertandingan, ada yang menang dan ada yang kalah.


“Ini bukti demokrasi masih menebal dalam parti Umno. Keutamaan selepas ini perlu penyatuan dan bangkit semula untuk bina kekuatan,” katanya.


Ahmad Razif yang menerajui kepimpinan Umno bahagian itu selama satu penggal, tewas kepada pencabarnya, Apli Yusoff.


Apli yang merupakan bekas Naib Ketua Umno Kuala Nerus mengalahkan Ahmad Razif dengan majoriti 41 undi.


Apli memperoleh 465 undi, manakala Ahmad Razif meraih 424 undi.


Pemilihan yang diadakan di TH Hotel menyaksikan 901 daripada 1,060 perwakilan dari empat Dun iaitu Tepuh, Buluh Gading, Bukit Tunggal dan Seberang Takir hadir melaksanakan tanggungjawab masing-masing.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Tukang jahit rugi RM10,000 ditipu Macau Scam

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Tindakan seorang tukang jahit melayan panggilan lelaki tidak dikenali mengundang padah apabila menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam, Selasa lalu.


Wanita berusia 43 tahun itu kerugian hampir RM10,000 selepas diperdaya lelaki terbabit yang memperkenalkan diri dari Mahkamah Alor Setar, Kedah.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kejadian berlaku selepas mangsa menerima panggilan daripada lelaki tidak dikenali, kira-kira jam 9.30 pagi, pada 18 Jun lalu.


Menurutnya, lelaki tersebut memperkenalkan diri sebagai kakitangan dari Mahkamah Alor Setar sebelum memaklumkan mangsa mempunyai cukai tertunggak hampir RM18,000.


“Lelaki berkenaan memberitahu cukai tertunggak itu dikenal pasti dari syarikat yang dibuka mangsa di Kedah, namun mangsa menafikan ada memiliki syarikat dimaksudkan.


“Lelaki itu seterusnya mengarahkan mangsa menghubungi pegawainya untuk bertanya lebih lanjut berkaitan isu tersebut.


“Bagaimanapun, mangsa yang tidak sempat berbuat apa-apa, sekali lagi dihubungi oleh individu berbeza sebelum memaklumkan wanita itu terlibat dengan jenayah penggubahan wang haram,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.


Idris berkata, individu itu turut memaklumkan kes membabitkan mangsa merupakan satu jenayah berat dan sudah hampir kepada peringkat atasan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.


Katanya, mangsa seterusnya diarahkan memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun bank diberikan sebelum diminta memberikan nombor siri kad bank miliknya dengan alasan untuk membersihkan namanya.


“Tanpa sebarang syak dan bimbang keselamatan dirinya kerana dimaklumkan terlibat dalam jenayah berat, mangsa hanya akur dengan setiap arahan diberikan.


“Bagaimanapun, pada Selasa lalu, kira-kira jam 6 petang, mangsa yang hendak mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) terkejut selepas mendapati baki di dalam akaunnya hanya tinggal tidak sampai RM300.


“Tidak berpuas hati wang simpanannya hampir RM10,000 hilang, mangsa seterusnya ke cawangan bank sama sebelum dimaklumkan ada proses pengeluaran berlaku tanpa pengetahuannya,” katanya.


Idris berkata, menyedari dirinya sudah ditipu oleh lelaki terbabit, mangsa nekad membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.


Katanya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]

Isu SJKC: Kepentingan nasional perlu diutamakan

in Nasional by


SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan berhak mengambil tindakan berpandukan kepentingan nasional dalam isu pemindahan enam buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan pembinaan 10 buah sekolah tersebut yang diluluskan kerajaan terdahulu.


Setiausaha Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Hasan Mad berkata, kementerian tidak perlu melayan kepentingan segelintir pihak yang dilihat cuba mempolitikkan agenda pendidikan negara.


Menurutnya, pemikiran songsang terhadap isu tersebut menunjukkan kerapuhan rakyat dalam agenda integrasi nasional sehingga ada pihak mengutamakan kepentingan kelompok kecil yang tidak lagi relevan dengan suasana semasa.


“Jika mereka dari kelompok ini juga cintakan Malaysia Baru, sewajibnya mereka menyumbang buah fikiran bagaimana hendak mempertingkatkan integrasi nasional.Selagi integrasi nasional tidak mantap, selagi itulah kita akan bergeseran sesama kita.


“Semua isu tidak akan lagi menjadi remeh, ia akan menjadi besar atau diperbesar-besarkan  terutama isu-isu sensitif seperti isu SJKC ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.


Tambah beliau, MPM pada 24 Januari lepas turut mengeluarkan kenyataan membantah tindakan kerajaan ketika itu yang membuat keputusan menempatkan semula enam SJKC dan membina 10 SJKC baru atas dasar kepentingan politik semasa.


Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik baru-baru ini turut mengumumkan pemindahan enam SJKC akan diteruskan namun pembinaan 10 buah sekolah itu akan diteliti secara objektif dan bergantung kepada keadaan kewangan negara.


Begitupun, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong kurang senang dengan keputusan itu malah menganggap ia merupakan penganiayaan politik kepada MCA.


“Alasan yang Dr Maszlee berikan bagi menangkis tohmahan pimpinan MCA adalah munasabah. Justifikasi menempatkan semula enam SJKC perlu dikaji semula apatah lagi pembinaan 10 buah SJKC baru yang wajib dikaji secara mendalam terutamanya dari aspek integrasi nasional.


“Ada media menyiarkan rencana kononnya tindakan Dr Maszlee itu tidak boleh diterima kerana ia bercanggah dengan pendirian kerajaan semasa yang sepatutnya mengutamakan keterbukaan. Beliau (Dr Maszlee) mempunyai hujahnya tersendiri.


“Apa pun, pendirian MPM ialah menegaskan bahawa kementerian berhak bertindak atas kepentingan nasional, bukan melayan kepentingan segelintir pihak,” ujarnya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Kenyataan menteri isu kajian semula merujuk kepada PLKN

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan hari ini menjelaskan kenyataan menterinya Mohamad Sabu berhubung kajian semula adalah merujuk kepada Program Latihan Khidmat  Negara (PLKN) dan bukannya Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti yang dilaporkan.


Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, terdapat kekeliruan yang berlaku dalam laporan media berhubung kenyataan Mohamad berhubung akta itu dalam sesi wawancara bersama media  Khamis lepas.


“Kajian semula yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan adalah merujuk kepada Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan bukannya Akta MKN seperti yang dilaporkan,” kata kenyataan itu.


Menurut kenyataan itu, program PLKN sedang dikaji semula dan akan diputuskan oleh kabinet dalam tempoh terdekat.


Beberapa media dan portal berita tempatan melaporkan Mohamad sebagai berkata walaupun janji pilihan raya Pakatan Harapan untuk menghapuskan Akta MKN 2016, namun kementeriannya akan mengkaji semua akta itu agar ia tidak menjadi alat politik pihak tertentu kelak.


Hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan sebagai berkata Akta MKN 2016 adalah antara undang-undang yang sedang dikaji oleh kerajaan untuk dipinda ataupun dimansuhkan.


Kajian itu, kata Dr Mahathir, dibuat memandangkan ada di antaranya yang digunakan kerajaan terdahulu untuk menyekat kebebasan rakyat. -Bernama


 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Cavani optimis cergas jumpa Perancis

in Sukan by


EDINSON Cavani yakin akan kembali cergas sepenuhnya apabila bertemu Perancis pada aksi suku akhir Piala Dunia selepas dikeluarkan ketika pasukannya mencatat kemenangan ke atas Portugal, awal pagi tadi.


Penyerang Paris Saint German itu menyumbang kedua-dua gol ketika Uruguay mencatat kemenangan 2-1 di Sochi sebelum dilihat mengalami kecederaan betis.


Cavani dibantu ketua pasukan Portugal, Cristiano Ronaldo ketika keluar padang sebelum digantikan dengan  Cristhian Stuani minit ke-74 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Fisht.


“Pada satu ketika saya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena. Saya harap dapat cergas sepenuhnya.


“Saya akan melakukan segala-galanya untuk memastikan dapat turun beraksi bersama rakan sepasukan yang lain.


“Ada rasa sakit sedikit tapi apapun sama-sama kita lihat perkembangannya selepas ini,” kata Cavani.


Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez mengakui gusar dengan situasi Cavani namun mereka akan mengetahui tahap kecederaan itu melalui ujian imbasan.


“Perlawanan seterusnya akan berlangsung lima hari lagi yang mana kami tidak mempunyai banyak masa.


“Secara jujurnya kami berasa bimbang tetapi kami tidak tahu apa masalah sebenarnya,” kata Tabarez.

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

Ahmad Razif masih Pengerusi Umno Terengganu

in Politik by


KUALA TERENGGANU – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman masih menggalas jawatan sebagai Pengerusi Umno negeri.


Setiausaha Umno Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, ini kerana jawatan itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan dan hanya akan ditentukan oleh presiden parti.


“Jawatan Pengerusi  Umno negeri masih disandang Datuk Seri Ahmad Razif. Sebarang peralihan tugas akan ditentukan oleh presiden parti mengikut budi bicara beliau.


“Saya yakin beliau (presiden) akan turun ke Terengganu untuk berbincang dengan rakan-rakan di sini sama ada untuk kekalkan yang lama atau melantik yang baru


“Proses ini akan dibuat dalam segera, bukan hanya di Terengganu tetapi di seluruh negara,” katanya.


Menurutnya, antara jawatan yang akan ditentukan presiden parti ialah timbalan pengerusi dan jawatan-jawatan penting dalam Umno Terengganu.


Mengulas mengenai pemilihan Umno semalam, Muhammad Pehimi berkata, perjalanan pemilihan mesyuarat di lapan bahagian di negeri ini berjalan lancar.


“Perjalanan pemilihan mesyuarat berjalan lancar dan sempurna kerana proses mesyuarat dan pemilihan dipantau oleh jawatankuasa terdiri daripada wakil ibu pejabat, badan perhubungan Umno negeri selain barisan jawatankuasa dilantik bahagian masing-masing.


“Kita membenarkan wakil-wakil calon untuk bersama jawatankuasa dan petugas proses pengundian terutama ketika proses pengiraan undi,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, keseluruhan perwakilan dilihat akur dengan keputusan yang diperoleh semalam.


“Rata-rata perwakilan dan kepimpinan negeri akur dengan keputusan sama ada keputusan di peringkat bahagian Terengganu atau pemilihan di peringkat presiden, timbalan, naib dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.


“Selepas ini, calon yang menang atau kecundang akan terus bersama-sama dalam parti untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Ahmad Razif masih Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu

in Politik by


KUALA TERENGGANU – Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman masih menggalas jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri.


Setiausaha Umno Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, ini kerana jawatan itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan dan hanya akan ditentukan oleh presiden parti.


“Jawatan Pengerusi Perhubungan Umno negeri masih disandang Datuk Seri Ahmad Razif. Sebarang peralihan tugas akan ditentukan oleh presiden parti mengikut budi bicara beliau.


“Saya yakin beliau (presiden) akan turun ke Terengganu untuk berbincang dengan rakan-rakan di sini sama ada untuk kekalkan yang lama atau melantik yang baru


“Proses ini akan dibuat dalam segera, bukan hanya di Terengganu tetapi di seluruh negara,” katanya.


Menurutnya, antara jawatan yang akan ditentukan presiden parti ialah timbalan pengerusi dan jawatan-jawatan penting dalam Umno Terengganu.


Mengulas mengenai pemilihan Umno semalam, Muhammad Pehimi berkata, perjalanan pemilihan mesyuarat di lapan bahagian di negeri ini berjalan lancar.


“Perjalanan pemilihan mesyuarat berjalan lancar dan sempurna kerana proses mesyuarat dan pemilihan dipantau oleh jawatankuasa terdiri daripada wakil ibu pejabat, badan perhubungan Umno negeri selain barisan jawatankuasa dilantik bahagian masing-masing.


“Kita membenarkan wakil-wakil calon untuk bersama jawatankuasa dan petugas proses pengundian terutama ketika proses pengiraan undi,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, keseluruhan perwakilan dilihat akur dengan keputusan yang diperoleh semalam.


“Rata-rata perwakilan dan kepimpinan negeri akur dengan keputusan sama ada keputusan di peringkat bahagian Terengganu atau pemilihan di peringkat presiden, timbalan, naib dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.


“Selepas ini, calon yang menang atau kecundang akan terus bersama-sama dalam parti untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Lelaki sindrom down hilang ditemui selamat

in Edisi Terengganu by


BESUT – Seorang lelaki sindrom down yang dikhuatiri hilang petang semalam, ditemui selamat oleh orang awam berhampiran sebuah resort di Tanjug Demong di sini, tengah hari tadi.


Mohd Shabri Sayuti Mat, 36, dilihat merayau-rayau di sekitar resort berkenaan oleh pekerja resort yang kemudian menghubungi waris lelaki itu.


Abangnya, Mohd Yusof, 41, berkata, adiknya yang dikenali dengan panggilan Pok Yuti keluar rumah di Kampung Pengkalan Nyireh, dekat Kampung Raja, petang semalam.


Menurutnya, usaha mencarinya dilakukan selepas dia tidak pulang ke rumah walaupun hari sudah malam.


“Selama ini walaupun dia keluar merayau sekitar kampung, dia tetap akan pulang sebelum malam.


“Ketika usaha mencari dilakukan ada maklumat daripada orang awam memberitahu kali terakhir adik saya dilihat mandi di pantai Air Tawar yang terletak dua kilometer dari rumah, kira-kira jam 6 petang.


“Namun mereka beritahu adik saya bersama remaja lain telah naik ke darat dan selepas itu tidak diketahui pergi ke arah mana,” katanya.


Mohd Yusof berkata, usaha mencari adiknya dilakukan sejak malam tadi di sekitar kampung dan beberapa kampung berdekatan termasuk di kawasan pantai sebelum disambung semula pagi tadi kerana bimbang keselamatannya.


“Dia ditemui dalam keadaan kelaparan kerana hampir sehari tak makan, manakala pakaiannya basah kuyup kerana dipercayai turun mandi pantai pagi ini.


“Namun dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa pulang ke rumah,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]

Tok Mat hargai sokongan perwakilan

in Politik by


SHAH ALAM – Timbalan Presiden Umno yang baharu, Datuk Seri Mohamad Hasan menghargai sokongan perwakilan Umno yang membantunya memenangi jawatan berkenaan dalam Pemilihan Umno, semalam.


Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menewaskan bekas Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.


Beliau akan memewang jawatan nombor dua dalam parti itu bagi penggal 2018 – 2021.


“Alhamdulillah, saya ingin merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada semua sahabat dan perwakilan Umno yang membantu saya secara langsung atau tidak dalam pemilihan


jawatan Timbalan Presiden Umno bagi penggal 2018 – 2021 ini. Terima kasih dan salam,” katanya melalui kenyataan di Twitternya, hari ini.


Kemenangan Mohamad atau lebih mesra disapa Tok Mat dilihat sebagai kejayaan berganda apabila beliau turut mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Rembau.


Nama Tok Mat menjadi bualan netizen selepas PRU14 apabila ramai mencadangkan namanya dan bekas Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerajui kepimpinan parti


selepas Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak melepaskan jawatan.


Dalam PRU14 baru-baru ini, beliau memberi kemenangan pertama kepada BN selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding kerana lawannya, Dr S Streram gagal kemukakan kertas penamaan calon.


Begitupun, kekalahan BN di peringkat negeri dan pusat menyebabkan beliau melepaskan jawatan Menteri Besar dan kini jawatan itu disandang Adun Sikamat, Aminuddin Harun.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Hati Messi terluka, elak jumpa media

in Sukan by


LIONEL Messi mengelak daripada bercakap dengan media selepas Argentina tewas 3-4 kepada Perancis awal pagi tadi sekali gus tersingkir daripada Piala Dunia 2018.


Kapten Argentina itu hanya menjaringkan satu gol dalam empat perlawanan peringkat kumpulan tetapi belum pernah melakar gol dalam pusingan kalah mati.


Dan di celah-celah spekulasi dia akan bersara dari peringkat antarabangsa buat kali kedua dalam kariernya, Messi tidak berhenti di zon media pasca perlawanan.


Menurut rakan sepasukannya, Sergio Aguero, Messi masih dalam keadaan sedih dan dia memerlukan masa untuk melupakan igauan buruk ini.


“Kami semua berduka, khususnya Messi. Hatinya betul-betul berkecai dengan kekalahan ini kerana dia merupakan pemain harapan untuk membantu Argentina tapi ia tidak berlaku.


“Selepas kalah kami hanya perlu akur, apa pun terima kasih kepada penyokong yang datang ke sini memberikan sokongam,” kata Aguero yang turut berjaya menjaringkan satu gol dalam perlawanan itu.


Argentina yang diketuai penyerang terbaik dunia, Messi gagal mengulangi pencapaian layak ke final Piala Dunia 2014 di Brazil serta menamatkan kemarau selama 32 tahun menang Piala Dunia apabila kali terakhir berbuat demikian pada 1986 di Mexico.


Dalam aksi itu, Perancis membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann.


Bagaimanapun, Angel Di Maria menyamakan kedudukan buat Argentina (m-41) sebelum Gabriel Mercado menceriakan penyokong-penyokong La Albiceleste dengan meletakkan pasukan bimbingan Jorge Sampaoli berada di depan buat pertama kali pada minit ke-48.


Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Benjamin Pavard kembali menyamakan kedudukan buat Les Bleus (m-57) sebelum Mbappe mencuri tumpuan dengan meledak gol ketiga dan keempat buat Perancis dalam tempoh empat minit (m-64 dan m-68).

 


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]

1 406 407 408 409 410 412
Kembali UTAMA