PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

July 2018 - page 411

Masjid satukan kaum

in Uncategorized by


IPOH – Bila sebut masjid, secara umumnya pasti ramai yang melihat ia sebagai pusat ibadah bagi umat Islam dan secara keseluruhannya melibatkan ibadah solat, pengajian agama termasuk kelas pengajian.


Bagaimanapun, masjid sebenarnya memiliki fungsi yang jauh lebih besar berbanding itu kerana di zaman Rasulullah SAW dahulu, masjid berfungsi sebagai sebuah pusat komuniti bagi masyarakat setempat.


Mengikut istilah Arab, masjid bermaksud tempat sujud dan mengikut bahasa merujuk kepada tempat sujud dan ini sekali gus menggambarkan bahawa masjid adalah tempat untuk pelaksanaan ibadah khususnya ibadah solat serta pengajian agama.

Majlis berbuka puasa bersama golongan bukan Islam.


Bagaimanapun, masjid sebenarnya memiliki fungsi yang jauh lebih besar berbanding itu kerana di zaman Rasulullah SAW dahulu, masjid berfungsi sebagai sebuah pusat komuniti bagi masyarakat setempat.


Pada ketika itu, selain menjadi pusat ibadah, masjid turut berfungsi sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan, kebudayaan, muamalat serta pusat perkembangan dakwah Islamiyyah itu sendiri.


Selain itu, masjid juga dijadikan tempat untuk berkumpul, berbincang serta merancang strategi yang tidak terhad kepada bidang dakwah semata-mata, malah turut melibatkan aspek perdagangan, perundangan dan penyebaran ilmu.

Golongan bukan Islam turut sama berbuka puasa.


Sekali gus, fungsi masjid pada ketika itu sangat besar dan diiktiraf sebagi pusat aktiviti utama bagi masyarakat setempat pada ketika itu.


Justeru, konsep serta fungsi masjid sebagai pusat aktiviti utama masyarakat setempat perlu terus diperkasakan; antaranya menerusi penganjuran pelbagai aktiviti melibatkan masyarakat di kawasan sekitar.

Golongan wanita bergotong-royong memasak ketupat Cina pada majlis jamuan Aidilfitri.


Pusat aktiviti masyarakat


Bagi Timbalan Pengerusi Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) Taman Tasek Jaya, Hafiz Ng,  pihaknya memang berusaha menjadikan masjid berkenaan sebagai pusat aktiviti bagi masyarakat setempat.


Hafiz yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim (Macma) Ipoh, menyifatkan, sebagai pusat aktiviti di kawasan berkenaan, masyarakat sekitar khususnya yang bukan beragama Islam akan mula mendekati  masjid.


“Suatu ketika dahulu, masjid ini adalah ibarat satu pusat aktiviti bagi masyarakat. Ada juga disediakan perkhidmatan bagi membantu orang ramai seperti dana fakir miskin serta khairat kematian.

Orang ramai ketika majlis jamuan Aidilfitri di masjid berkenaan.


“Oleh itu, saya berharap agar semua masjid sedia ada di negeri ini akan dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti bersama masyarakat.


“Seterusnya ia diharap dapat menarik kunjungan orang ramai termasuk masyarakat bukan Islam ke masjid bagi mengikuti aktiviti-aktiviti yang disediakan,” katanya.


Tambah Hafiz, setakat ini Masjid Muhammadiah sememangnya banyak menganjurkan program bersama masyarakat di sekitar Taman Tasek Jaya, seperti program kayuhan, festival makanan dan pesta tanglung.

Tarian singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina.


Katanya, semua program berkenaan mendapat sambutan yang cukup baik daripada masyarakat setempat termasuk masyarakat bukan Islam di situ.


“Alhamdulillah, semua program yang kita anjurkan setakat ini mendapat sambutan yang cukup baik daripada masyarakat termasuk masyarakat bukan Islam.


“Sebagai contoh, untuk majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri hari ini, kita tak payah pun jemput tetapi orang ramai sendiri yang akan datang.


“Semoga apa yang kami lakukan ini akan berterusan dan memberikan manfaat kepada semua pihak,”  katanya

Golongan wanita turut sama menggantung ketupat Cina.


Islam agama kasih sayang


Dalam pada itu, Hafiz berkata, dirinya pernah ditanya oleh seorang individu bukan Islam apabila bertemu dengannya pada tidak lama dahulu.


“Saya pernah ditanya oleh seseorang  yang hairan melihatkan saya berjubah dan berkopiah selain menunaikan solat di masjid.


“Individu berkenaan mengatakan dia hairan melihatkan Hafiz yang menunaikan solat kerana menurutnya,, dia menganggap hanya orang Melayu berbuat demikian.


“Saya jelaskan kepada dia, Islam berbeza dengan Melayu. Walaupun telah memeluk Islam, tetapi saya masih lagi boleh mengamalkan adat tradisi serta budaya Cina dengan syarat ia tidak bercanggah dengan akidah,” katanya.


Menurut Hafiz dirinya turut menjelaskan kepada individu berkenaan bahawa Islam adalah agama kasih sayang.

Pesta Tanglung turut menarik penyertaan masyarakat India.


Malah katanya, Islam juga tidak sekali-kali akan memisahkan hubungan kekeluargaan, tetapi menjadikan hubungan itu bertambah erat.


“Saya turut menjelaskan kepadanya bahawa Islam bukanlah agama yang menyusahkan, malah akan terus memelihara hubungan kekeluargaan dalam penuh rasa kasih dan sayang.


“Oleh itu, bagi saya, di sinilah antara peranan utama masjid sebagai pusat komuniti setempat, terutamanya dalam memberikan penjelasan mengenai Islam kepada orang ramai.


“Terima kasih juga kepada Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), yang banyak membantu selama ini,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]

Tender RM300 juta: Seorang lagi ditahan

in Nasional by


PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam telah menahan seorang lagi individu  bagi membantu siasatan berhubung pemberian beberapa tender projek pembinaan di Putrajaya membabitkan RM300 juta.


Menurut sumber, lelaki yang berusia 42 tahun itu ditahan jam 1.30 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.


Berdasarkan laporan awal, lelaki tersebut yang pernah bertugas sebagai arkitek di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi memanipulasi beberapa kos proses projek pembinaan.


Tambah sumber lagi, projek yang dianugerahkan kontraktor menerusi proses tender disabotaj menyebabkan ia gagal dilaksanakan sebelum diberikan kepada kontraktor pengganti yang dipercayai mempunyai kepentingan dengan arkitek terbabit, dan dikatakan dirancang lebih awal.


[ARTIKEL BERKAITAN: Projek RM300 juta: CEO GLC dibebaskan]


Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ruslan Che Amad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Beliau berkata lelaki tersebut akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi mendapatkan perintah reman.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]

Cadang sistem pembiayaan politik telus

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA TENGAH – Kerajaan Pakatan Harapan disaran wujudkan satu mekanisme pembiayaan politik berintegriti seperti terkandung dalam manifesto PRU14 gabungan berkenaan.


Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, tujuannya adalah untuk menyemak cadangan lalu serta menyediakan draf Akta Kawalan Pembiayaan Politik bagi membentuk sebuah sistem politik yang lebih telus.


Merujuk rampasan pelbagai barangan mewah dan eksklusif di kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai contoh, beliau berkata, sistem pembiayaan politik adalah isu yang amat penting untuk diberi perhatian oleh kerajaan dan ahli-ahli Parlimen.


“Dalam konteks ini, Harapan perlu berani dan menunjukkan kepimpinan dalam membentuk satu sistem politik yang lebih terbuka, telus, dan bertanggungjawab.


“Sekaranglah masanya untuk Malaysia berubah menjadi sebuah negara demokrasi yang berfungsi,” katanya kepada Sinar Harian.


Buat masa ini, Poay Tiong berkata, terdapat kelemahan dari segi perundangan serta kawalan dalam pembiayaan politik sehingga ada ahli-ahli politik yang berjaya melepaskan diri dengan menyatakan bahawa wang korupsi adalah ‘derma’ untuk tujuan pilihan raya.


Menurutnya, perkara tersebut menyebabkan kejadian calon membeli undi dengan memberi wang serta pelbagai barangan bernilai kepada pengundi pada PRU14 lalu.


Pada masa sama, beliau turut menyelar tindakan Najib sebelum ini yang didakwa menuduh Harapan membantah dan menolak reformasi pembiayaan politik ini.


“Ketika itu beliau menjadi Perdana Menteri dan mempunyai kuasa penuh untuk mencadangkan dan meluluskan undang-undang pembiayaan politik ini,” katanya.


 


caption


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

Najib gesa pemimpin Umno henti berbalah

in Politik by


KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyeru agar anggota Umno berhenti berbalah dan tidak membuat tohmahan yang boleh menjejaskan perpaduan parti itu.


Jelas Najib, perkara itu perlu bagi memulihkan kekuatan Umno untuk mengangkat perjuangan agama, bangsa dan negara.


“Ahli-ahli Umno perlu meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan dalam usaha membina semula kekuatan parti.


“Kita juga hendaklah belajar dari kesilapan lepas, kuatkan perpaduan dan kasih sayang sesama ahli Umno,” katanya memetik laporan Malaysia Kini.


Kenyataan itu dibuat ketika Umno selesai mengadakan pemilihan parti bagi menentukan barisan pimpinan baru yang akan menerajui parti itu.


Mengulas lebih lanjut, Najib berkata, orang Melayu tidak boleh berharap kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk memperjuangkan nasib mereka.


Ini kerana, katanya, kekuatan parti Melayu dalam gabungan itu datang dari sokongan orang bukan Melayu.


“Setakat ini, kerajaan Harapan mengizinkan pencabulan bahasa Melayu, agenda Islam dan bumiputera juga tidak akan mendapat tempat utama dalam pentadbiran mereka.


“Saya pernah sebut Melayu akan terbangsat di negara sendiri jika Umno hilang kuasa. Kita sudah terlepas kuasa dan mesti tabah hadapi ujian ALLAH.


“Insya-ALLAH, dengan adanya perpaduan yang lebih kukuh dan kasih kepada parti, Umno boleh mengembalikan semula keyakinan rakyat terutamanya orang Melayu,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Muip sumbang RM50,000 kepada Perkim

in Edisi by


KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Resam Melayu Pahang (Muip) menyalurkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) negeri bagi membantu pertubuhan berkenaan menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah.


Penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan dalam satu majlis di Pejabat Saham Waqaf Kuantan, semalam.


Wan Abdul Wahid  berkata, kerjasama bersama Perkim secara tidak langsung dapat menyampaikan dakwah kepada mereka  bukan Islam termasuk Orang Asli di negeri ini agar lebih memahami tentang Islam.


“Diharapkan Perkim dapat bekerjasama dengan mana-mana agensi berkaitan dalam menjalankan aktiviti dakwah sama ada kepada masyarakat Orang Asli dan lain-lain di negeri ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada majlis tersebut.


Hadir sama Setiausaha Kehormat Perkim negeri, Mahadi Deraman dan Setiausaha Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain.


Wan Abdul Wahid juga berharap Perkim dapat memanfaatkan peruntukan sumbangan tersebut sebaik mungkin dalam melaksanakan pelbagai aktiviti pertubuhan itu.


“Gunakan peruntukan ini untuk melaksanakan aktiviti yang bermanfaat kepada saudara baharu yang terdiri daripada kaum Cina dan India,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

Persatuan tinju sasar dua emas

in Edisi Terengganu by


BESUT –  Persatuan Tinju Negeri Terengganu (PTNT) menyasarkan dua pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak dari 14 hingga 22 September ini.


Setiausaha PTNT, Rosli Zakaria berkata, sasaran tersebut disifatkan realistik berdasarkan prestasi semasa sembilan peninju yang dipilih mengikut kem latihan di Pusat Latihan Tinju Negeri (PLTN) di Kampung Raja, di sini.


Menurutnya, persatuan meletakkan sasaran kepada dua atlet untuk meraih  pingat emas dalam temasya itu iaitu Amirul Sakila, 18, dan Mohamad Akram Rasit, 20.


“Kedua-dua mereka memiliki rekod prestasi baik dalam sukan tersebut termasuk memenangi emas dalam Kejohanan Sukma Age Kebangsaan  yang berlangsung di Kota Putera Square, di sini, pada April lalu,” katanya.


Rosli berkata, walau bagaimanapun peserta lain turut mempunyai peluang sama termasuk Halim Izani Sulaiman, 19, dan Wan Muhammad Haniff Wan  Zalahan, 18, dan lima peserta lain.


Menurutnya, selain dua emas, PTNT turut mensasarkan  atlet akan menyumbang dua pingat perak dan satu gangsa  dalam kejohanan itu.


“Sebagai persiapan menghadapi Sukma, persatuan telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan Persatuan Tinju Nasional Indonesia untuk menghantar atlet kita menjalani latihan selama 20 hari di Komuniti Sukan Nasional Indonesia di Bandung, pada bulan ini (Julai).


“Sekarang kita hanya menunggu lampu hijau dari Majlis Sukan Negeri (MSN) untuk membenarkan kita menjalani latihan di negara jiran itu,” katanya.


Rosli berkata, rasional persatuan menghantar atlet menjalani latihan di Bandung kerana ingin mengambil peluang berkongsi kepakaran jurulatih tinju dari Korea yang sedang melatih peninju Indonesia di sana.


Menurutnya, antara lain lagi ialah latihan di sana dijalankan di kawasan tanah tinggi dengan suhu rendah dan apabila pulang nanti akan meningkatkan stamina atlet selain kos rendah dan komunikasi.


“Kita merancang apabila pulang dari Bandung nanti, atlet kita akan bertarung dalam Kejohanan Pra Sukma pada Ogos sebelum menyertai Sukma sebenar,” katanya.


Beliau berkata, sembilan atlet tersebut sekarang sedang giat menjalani latihan harian di PLTN di bawah bimbangan tiga jurulatih berpengalaman, Mohd Nor Ismail yang merupakan bekas peninju komanwel, Che Adli Hashim (bekas atlet Sukma) dan Wan Rezuan Wan Aziz juga atlet Piala Malaysia.


Menurutnya, mereka juga telah mengikuti Program Pemantapan Psikologi dan Persiapan Kekuatan Mental di Pulau Perhentian pada 21 dan 23 Jun lepas selain merancang turut menghantar mereka menjalani latihan Tindik bersama pasukan Korat, Thailand pada Ogos depan.


Dalam perkembangan lain, PTNT juga berusaha mencungkil bakat baru dalam bidang sukan tinju dengan mengembangkan sukan ini di sekolah-sekolah menengah di daerah ini.


Sehubunghan itu persatuan melalui jurulatih Wan Rezuan Wan Aziz dan Che Adli telah berjaya membuka kelab tinju di lima buah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sering Nering, SMK Tengku Mahmud 2, SMK Permaisuri Nur Zahirah, SMK Renek dan SMK Jabi.


“Kita sudah mengenal pasti ramai bakat baharu di kalangan pelajar dan mereka akan digilap serta dilatih untuk menjadi atlet bukan sahaja mewakili PTNT tetapi mewakili negara,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]

Bernas jaminan kepada pesawah

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – “Pengalaman saya bersawah sejak berusia 20 tahun berkembang seiring dengan Bernas (Padiberas Nasional Berhad) yang ketika itu baru sahaja mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) sebagai penjaga industri padi dan beras tempatan,” kata seorang pesawah, Mohd Noor Hashim, 55, kepada Sinar Harian.


Menurutnya, penat lelah bersama petani-petani lain mengerjakan sawah berkeluasan 1,000 relung sehingga kini di Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis banyak disokong oleh Bernas.


Katanya, amat sukar untuk dia dan rakan-rakan pesawah lain menidakkan fungsi Bernas yang disifatkan sentiasa ada untuk mereka dalam keadaan susah mahupun senang.


“Paling kami tidak boleh lupa, setiap kali waktu puncak di mana akan berlaku lebihan hasil tuaian padi, Bernas tetap akan membeli daripada kami walaupun melebihi kemampuan mereka.


“Jika syarikat swasta atau pengilang lain, mereka hanya akan beli mengikut jumlah yang mereka mahu sahaja dan keadaan itu sebabkan kita alami kerugian…tapi tidak dengan Bernas, mereka tetap akan terima hasil yang kita jual walaupun berlebihan mahupun jika beras kita ada masalah,” katanya menyifatkan Bernas sebagai badan yang boleh dipercayai serta bertanggungjawab.


Sementara itu, Mohd Noor berkata, dia sebenarnya tidak melihat kewajaran untuk kerajaan mengurangkan monopoli Bernas kerana dalam tempoh 22 tahun perkhidmatannya selepas diswastakan pada 1996, Bernas dilihat begitu cemerlang menjalankan fungsi mereka.


“Jika nak kurangkan monopoli Bernas dalam sektor pengeluaran beras, kerajaan perlu ada kajian menyeluruh serta terperinci.


“Malah mana-mana syarikat swasta yang akan menggantikan peranan Bernas itu perlu dipastikan mampu melakukan lebih baik daripada Bernas…jika tidak, ia hanya akan mendatangkan masalah khususnya kepada para pesawah,” katanya yang melihat tidak ada keperluan untuk kerajaan mengambil tindakan sebegitu terhadap Bernas.


Dalam pada itu, seorang lagi pesawah dari Alor Setar, Kedah, Yussof Bakar memberitahu,  kewujudan Bernas selama ini sedikit sebanyak memberi jaminan kepada para petani bagi memastikan hasil padi dituai terjual habis.


Selepas diswastakan dulu katanya, Bernas mengakui akan jadi pembeli terakhir.


“Selama ini kami tahu, siapa yang memang akan ambil atau beli padi kami terutamanya bila padi kami kurang elok.


“Tapi kalau Bernas dah tiada,  siapa yang akan jadi pembeli terakhir nanti? Itu amat merisaukan kami para pesawah,” katanya bimbang akan berlaku penindasan terutamanya dari segi permutuan padi.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]

Akaun Umno Pahang, Bahagian Bentong dibekukan

in Edisi by


BENTONG – Badan Perhubungan Umno Pahang mengesahkan akaun bank Umno Negeri Pahang dan Bahagian Bentong telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).


Namun, Pengerusinya, Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan pembekuan akaun bank miliknya sebagai wajar bagi memberi laluan kepada penyiasatan oleh pihak berkuasa berhubung pelbagai isu berbangkit dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.


“Saya bertemu dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) pada 19 Jun lalu dan Tun Daim Zainuddin bertanyakan sama ada kami ada mendapat bantuan kewangan pada PRU13…saya kata Badan Perhubungan Umno Pahang mendapat dua keping cek.


“Saya ada simpan dokumen seperti salinan imbasan dan penyata kewangan, ini memudahkan pihak berkenaan membuat siasatan.


“Tindakan ini wajar bagi membantu siasatan, namun saya hairan akaun Umno Bahagian Bentong pun turut dibekukan dan saya diberitahu kita ada mendapat cek…kita terbuka dalam siasatan dilakukan pihak berkuasa,” katanya ditemui selepas mesyuarat Umno Bahagian Bentong di Dewan Arena Bentong, di sini, semalam.


Baru-baru ini Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memangku jawatan Presiden UMNO mendedahkan SPRM membekukan akaun Umno Pusat, Umno Selangor dan umniJohor.


SPRM dipercayai membekukan akaun yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Dalam pada itu Adnan yang juga bekas Menteri Besar Pahang berkata, bendahari Umno Bentong Datuk Noor Azmi Jaafar memaklumkan Umno Bentong ada menerima bantuan sekeping cek daripada ibu pejabat Umno.


“Kalau begitu, wajar juga untuk membekukan akaun Umno Bentong… ini semua untuk mudahkan siasatan dan kita terbuka. Kita akan siapkan semua dokumen yang diperlukan dan beri kerjasama,” katanya.


Adun Pelangai itu juga mengakui Umno Pahang mengalami ‘sedikit kesukaran’ untuk bergerak ekoran pembekuan akuan tersebut, namun mahu atau tidak mereka perlu ‘belajar untuk hidup dengan apa adanya’.


“Saya bukan menteri besar yang berniaga, tapi ada beberapa anggota dalam parti yang ada perniagaan dan kewangan yang kukuh sanggup menyumbang kepada parti. Kita pun bergerak setakat yang termampu.


“Umno dahulu pun bermula bukan terus senang tapi kita ada semangat. Jika semangat itu kita pegang, sanggup bersusah maka tidak akan menjadi masalah untuk kita bangkit semula,” katanya.


Sementara itu, Adnan berjaya mempertahankan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Bentong yang memegang jawatan tersebut sejak tahun 1987 menang bergaya apabila memperolehi 296 undi meninggal jauh pencabarnya, Shamsudin Moner yang sekadar memperolehi 51 undi dalam pertembungan satu lawan satu itu.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]

489 pembeli terima kunci rumah akhir tahun ini

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Seramai 489 pemilik rumah di Taman Nusantara Prima, di sini, bakal menerima kunci kediaman masing-masing selewat-lewatnya penghujung tahun ini.


Berita gembira itu dimaklumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menerusi mesyuarat yang diadakan bersama pihak bertanggungjawab untuk projek perumahan termasuk wakil pembeli rumah itu, di sini, semalam.


Projek berkenaan yang bermula pada 2008 dan dijangka pembeli menerima kunci antara 2012 hingga 2015, bagaimanapun berlaku kelewatan disebabkan pihak pemaju mengalami masalah kewangan.


Zuraida berkata, selain itu, perkara lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat berkenaan ialah pembayaran denda lewat penyerahan (LAD) yang mana pemaju bersetuju membayar 50 peratus dalam masa enam bulan kepada pembeli terlibat.


“Projek perumahan di sini melibatkan 1,003 pembeli. Daripada jumlah tersebut, seramai 514 telah menerima kunci masing-masing.


“Bagaimanapun, bakinya masih menerima kunci lagi. Beberapa tarikh telah dikemukakan, tetapi saya buat rumusan kita beri pemaju masa sehingga Disember tahun ini dan kalau awal lebih bagus.


“Perkara kedua yang kita bincangkan adalah mengenai LAD. Saya telah bincang dengan pembeli yang terlibat dan faham dengan kekangan yang dihadapi oleh pemaju dan minta mereka beri pertimbangan terima tawaran pemaju iaitu 50 peratus dalam masa enam bulan,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa melawat lokasi perumahan berkenaan di Taman Nusantara Prima, di sini, semalam.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]

Jangan lengah turun harga barang

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan terima 174 aduan dan pertanyaan babit peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST) sifar yang dilaksanakan bermula 1 Jun lalu.


Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, sebanyak 1,197 premis diperiksa dan 26,569 barangan disemak selepas menerima aduan membabitkan harga barangan di kedai runcit.


“Kita dapat maklumat dari pengguna ada peniaga dah potong GST di atas resit mereka tetapi harga jualan masih sama sebelum GST. Ada juga premis yang tidak kenakan GST sebelum ini tetapi selepas sifar GST mereka letak harga berbeza.


“Oleh itu, kita buat pemeriksaan berterusan untuk memastikan peniaga tidak ambil kesempatan naikkan harga,” katanya kepada Sinar Harian di sini.


Menurutnya, sebanyak lima notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dikeluarkan kepada peniaga disyaki cuba ambil untung berlebihan.


Jelasnya, mereka diberi masa lima hari untuk beri penjelasan.


Beliau berkata, sebanyak 10 notis mengikut Seksyen 53A akta sama turut dikeluarkan kepada peniaga yang tidak mengemukakan dokumen sebelum ini.


“Saya nak ingatkan peniaga supaya tidak melengahkan penurunan harga barangan dengan nyatakan di dalam tanda harga kerana GST telah pun dimansuhkan kerajaan dan tempohnya akan berakhir pada Sabtu ini.


“Kepada pengguna yang ingin buat aduan, saya harap mereka dapat nyatakan secara lengkap maklumat aduan supaya mudah dilakukan KPDNKK,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]

Kembali UTAMA