PORTAL SINARHARIAN

Monthly archive

July 2018 - page 412

Zulkifli dipilih Ketua Umno Bahagian Tumpat

in Politik by


TUMPAT – Datuk Zulkifli Abdullah dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian Tumpat yang baharu selepas menewaskan Pemangkunya, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.


Zulkifli memperoleh 510 undi manakala Mohd Rosdi mendapat 449 undi.


Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Al -Busyraa sebelum ini adalah Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tumpat.


Pemilihan Ketua Umno Bahagian Tumpat menyaksikan pertandingan empat penjuru apabila Mohd Noor Yaacob dan Shamsudin Daud turut menawarkan diri.


Jawatan Ketua Umno Bahagian Tumpat dipangku Mohd Rosdi sejak 2014 apabila penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia.


Manakala Naib Ketua Umno Bahagian Tumpat yang menyaksikan pertandingan enam penjuru dimenangi Rosidi Mahmud Kamaruddin.


Rosidi memperoleh 403 undi manakala pencabarnya Ab Kadir Yaacob mendapat 18 undi, Wan Mohd Sanusi Wan Yunus (154), Hashim Mohamad (258) dan Shuhaili Hussien (62).


Wan Mohd Sanusi adalah calon Dun Pasir Pekan manakala Hashim calon Dun Kelaboran pada PRU14 lalu.


Rosidi sebelum ini adalah Ketua Pemuda Umno Bahagian Tumpat.


Jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tumpat disandang Wan Hanapi Wan Yaacob yang menang tanpa bertanding.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Mohamad Noordin Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian baharu

in Politik by


KOTA BHARU – Datuk Mohamad Noordin Awang diisytihar Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian baharu bagi penggal 2018-2021 setelah menewaskan pencabarnya, Datuk Anuar Safian dengan majoriti 238 undi.


Pada mesyuarat perwakilan bahagian yang berlangsung di Dewan DMG semalam, Mohamad Noordin memperoleh 345 undi manakala Anuar mendapat 107 undi.


Ia merupakan percubaan kedua Mohamad Noordin merebut kerusi nombor satu bahagian berkenaan setelah tewas dalam pemilihan 2013.


Penyandang terdahulu, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani tidak mempertahankan jawatan pada penggal kali ini bagi memberi laluan kepada muka baharu.


Jawatan Timbalan Ketua pula sah milik bekas Ketua Pemuda, Bakri Yusoff setelah menang tanpa bertanding berikutan seorang lagi calon, Shamshudin Yusoff menarik diri.


Sementara itu, Adnan Ismail diumumkan menang jawatan Naib Ketua setelah meraih undi tertinggi dalam pertandingan empat penjuru itu.


Beliau mendapat 280 undi berbanding tiga calon lain iaitu Mohd Zuki Safi’n (145) manakala Ahamad Mahmood dan Mohd Yunus Tahir, masing-masing hanya meraih 22 serta tujuh undi.


Seramai 476 perwakilan daripada 124 cawangan di tiga Dun iaitu Salor, Pasir Tumboh dan Demit hadir untuk mengundi pemilihan di peringkat bahagian, G7 iaitu perwakilan yang akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Pusat.


Dalam pada itu, perwakilan Umno Kubang Kerian memilih Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan Presiden dengan undian terbanyak 383 manakala Khairy Jamaluddin Abu Bakar (43) dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (21).


Bagi jawatan Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa menerima 272 undi berbanding bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan 153 undi.


Untuk jawatan Naib Presiden pula, Umno Kubang Kerian memilih Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan 364 undi disusuli Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (321) dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (187).


Source: SH Politik

[featured-video-plus]

Pelawak tembus talian Air Force One

in Global by


WASHINGTON – AMERIKA SYARIKAT. Seorang pemanggil palsu dilaporkan berjaya menembusi talian untuk berbual dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di pesawat Air Force One.


Berpura-pura sebagai Senator New Jersey Robert Menendez, pelawak John Melendez berkata bahawa beliau menghubungi Trump pada malam Rabu (27 Jun) ketika presiden itu berada di dalam pesawat presiden.


Melendez menyiarkan rakaman perbualan di The Stuttering John Podcast, di mana suara seperti Presiden Trump boleh didengari.


“Anda mengalami keadaan yang sukar dan pada pendapat saya, ia sangat tidak adil,” katanya kepada “senator”, yang disiasat kerana rasuah sebelum tuduhan-tuduhan itu akhirnya digugurkan.


Kedua-dua lelaki itu kemudian meneruskan perbualan mereka, berbual mengenai isu-isu seperti imigresen serta menggantikan Hakim Anthony Kennedy, yang akan bersara dari Mahkamah Agung AS.


Pelawak itu berkata bahawa beliau membuat panggilan telefon ke Rumah Putih berpura-pura menjadi pembantu kepada senator dan pada akhirnya beliau dihubungkan dengan presiden di pesawat Air Force One, dalam senario yang menimbulkan persoalan tentang protokol yang mengawal akses kepada ketua pemimpin AS tersebut.


Rumah Putih tidak memberi sebarang respons terhadap permintaan media untuk mengulas perkara itu. – CNA


Source: SH Global

[featured-video-plus]

1 410 411 412
Kembali UTAMA