37 jemaah haji dirawat di hospital setakat ini

in Nasional by


MAKKAH – ARAB SAUDI. Seramai 37 jemaah haji Malaysia di Tanah Suci telah dimasukkan ke wad berikutan masalah kesihatan setakat ini.


Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata daripada jumlah itu, 30 daripada mereka dirawat di pusat kesihatan dan klinik-klinik maktab Tabung Haji (TH) manakala baki tujuh orang lagi menerima rawatan di hospital-hospital di Arab Saudi, iaitu empat di Makkah dan tiga di Madinah.


“Kebanyakan jemaah haji kita akan pergi ke klinik-klinik maktab terlebih dahulu untuk mendapatkan rawatan awal, dan jika ada keperluan untuk dimasukkan ke wad atau pusat rawatan TH, kita akan berbuat demikian,.


“Jika penyakit mereka agak serius dan tidak dapat dirawat dengan sempurna di pusat-pusat rawatan TH, kita akan hantar ke hospital di Arab Saudi di mana terdapat kemudahan yang lebih sempurna,” katanya pada sidang media di sini hari ini.


Bagaimanapun, beliau berkata, kebanyakan mereka  hanya mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik-klinik TH di hotel dan maktab-maktab penginapan dan masalah kesihatan yang dihadapi berada di tahap yang ringan.


Syed Saleh berkata setakat ini TH merekodkan satu kematian iaitu jemaah haji wanita berusia 67 tahun yang meninggal di Madinah  pada 22 Julai lalu. Jemaah haji itu  berasal dari Pahang.


Setakat in, 18,306 bakal jemaah haji Malaysia telah tiba di Tanah Suci melibatkan 41 penerbangan dan daripada jumlah itu 12,537 orang sudah berada di Makkah manakala  5,769 lagi masih berada di Madinah. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]