Abu Bakar bangga PKNP labuh tirai liga dengan kemenangan

in Sukan by


IPOH – PKNP bangga kerana berjaya menutup saingan Liga Super dengan kemenangan apabila berjaya menewaskan Kedah 3-1 di Stadium Darul Aman, baru-baru ini.


Pengendalinya, Abu Bakar Fadzim berkata, kemenangan berkenaan nyata satu pencapaian membanggakan walaupun ia adalah aksi terakhir bagi saingan Liga Super selain mengesahkan slot beraksi dalam saingan Piala Malaysia.


“Walaupun perlawanan ini adalah perlawanan terakhir dalam saingan Liga Super musim ini dan kita telah layak ke Piala Malaysia, saya tetap mengarahkan pemain untuk beraksi sebaik mungkin.


“Sedikit rombakan pada kesebelasan pemain apabila saya merehatkan pemain import Franklin dan memberikan peluang kepada pemain tempatan yang jarang beraksi.


“Ini kerana bagi saya setiap perlawanan tetap penting dan keinginan mahu menang perlu diterjemahkan dalam bentuk semangat berpasukan yang kuat,” katanya kepada Sinar Harian.


Abu Bakar berkata demikian bagi mengulas kemenangan 3-1 PKNP  ke atas Kedah pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman, baru-baru ini.


Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan PKNP menamatkan saingan Liga Super pada kesembilan dengan 25 mata hasil tujuh kemenangan seri empat kali dan tewas 11 kali di sepanjang saingan musim ini.


Sementara itu, Abu Bakar lega apabila pemain tempatan berkenaan mempamerkan aksi memberangsangkan di sepanjang perlawanan.


“Kita beri peluang pemain yang jarang beraksi seperti penjaga gol Mohd Syazani, Mohd Azraei, Mohd Ibni, Fandi Ahmad untuk kita nilai tahap sumbangan mereka kepada pasukan.


“Syukur Alhamdulillah kita berjaya meraih tiga mata dan seterusnya memperbaiki kedudukan dalam carta liga walaupun hanya menurunkan dua pemain import sahaja,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]